KDA FC giat menjalani latihan bagi persiapan aksi Liga Super menentang KL City pada Jumaat ini. Foto KDA FC
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berdepan cabaran besar menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Ketua Jurulatih Interim, Victor Andrag mengakui persiapan pasukan menjadi semakin sukar apabila ramai pemain utama tidak hadir sesi latihan, sekali gus menyukarkan perancangan taktikal yang mahu diterapkan.
Menurutnya, situasi tersebut telah mula dirasai sejak hari pertama beliau mengendalikan pasukan dan ia menjadi penghalang utama dalam membentuk keserasian dan strategi pasukan.
“Bila kita nak buat sesuatu perancangan, ada dalam kalangan pemain utama tidak datang. Jadi bagaimana kami mahu membuat persediaan yang rapi.
“Pada sesi latihan terbaru, hanya sekitar 12 hingga 15 pemain senior yang hadir dan biasanya, hanya lima pemain bawah 23 tahun yang menyertai latihan utama.
“Tetapi kali ini, saya terpaksa menambah jumlah mereka kepada lapan orang kerana kekurangan pemain senior, ” katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim baru-baru ini.
Victor memberitahu, Sang Kenari juga kekurangan pemain import menyebabkan pasukan kejurulatihan terpaksa mengisi kekosongan dengan pemain simpanan.
Jelasnya, keadaan ini menyukarkan usaha pasukan untuk mengekalkan momentum yang diperlukan, terutama dalam saingan Liga Super yang semakin kompetitif.
“Saya tidak boleh paksa mereka, jika mereka komited, jika sekejap datang dan kemudian tak datang.
“Itulah yang menyukarkan keadaan persiapan sebelum menghadapi perlawanan sepertimana apa yang dihadapi sebelum menghadapi pasukan Negeri Sembilan FC yang lalu,” ujarnya.
Tambahnya, beliau tetap berharap pemain yang ada akan menunjukkan kesungguhan dan komitmen untuk membantu pasukan.
KDA FC kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan 20 mata selepas 18 perlawanan, manakala KL City di tangga keenam dengan 25 mata selepas 20 perlawanan.