Persiapan rapi kunci hadapi kumpulan maut

Persiapan rapi kunci hadapi kumpulan maut


Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Iran, UAE dan Bangladesh. Info grafik: FAM

PENGENDALI skuad futsal negara, Rakphol Sainetngam, menegaskan bahawa aspek persiapan menyeluruh menjadi faktor utama dalam memastikan Malaysia mampu memberi saingan dalam pusingan kelayakan Futsal Piala Asia 2026.

Pengendali dari Thailand itu memberi penekanan terhadap kepentingan latihan intensif dan pendekatan taktikal bersepadu menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, dari 20 hingga 24 September ini.

“Pasukan kami perlu benar-benar bersedia dalam semua aspek, baik daripada sesi latihan, pengurusan dalaman hinggalah kepada perancangan taktikal.

“Tempoh persiapan ini amat penting untuk kami mengumpul maklumat terperinci mengenai kekuatan dan kelemahan lawan,” ujar Rakphol.

Jadual Perlawanan Kelayakan Futsal Piala Asia 2026. Info grafik: FAM

Jadual Perlawanan Kelayakan Futsal Piala Asia 2026. Info grafik: FAM

Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama juara 12 kali, Iran, serta dua pasukan Asia Barat iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.

Anak buah Rakphol bakal membuka kempen kelayakan menentang UAE pada 20 September, diikuti pertemuan dengan Bangladesh dua hari kemudian, sebelum menutup tirai saingan kumpulan menentang gergasi benua, Iran, pada 24 September.

“Cabaran dalam kumpulan ini cukup besar, tetapi saya percaya dengan perancangan yang teliti serta komitmen penuh pemain, kami mampu bersaing,” ujarnya.

Sebagai rekod, hanya lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik daripada keseluruhan pusingan kelayakan akan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Indonesia pada Januari 2026.



Source link

OR

Scroll to Top