SKUAD Harimau Malaya mendapat suntikan baharu di bahagian pertahanan apabila bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain pertahanan tengah dari Argentina, Facundo Garcés.
Perkara itu diumumkan oleh pasukan kebangsaan menerusi satu kenyataan di laman media sosial rasmi mereka, Malaysia NT, pada Isnin.
Garcés, yang memiliki tanda harga €1.2 juta (RM5.81 juta) berdasarkan semakan di laman Transfermarkt, pernah beraksi dalam liga utama Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama kelab Deportivo Alavés di La Liga.
“Pasukan kebangsaan Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa pertahanan tengah, Facundo Garcés, telah secara rasmi menyertai skuad senior Harimau Malaya.
“Pemain berusia 25 tahun ini membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan yang besar kepada pasukan ketika Malaysia terus mengukuhkan skuad dan menjadi pasukan impian rakyat Malaysia.
“Beliau telah melengkapkan segala keperluan pendaftaran dan kelayakan, dan kini tersedia untuk dipilih oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Garcés turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia.
“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.
“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan dan sokongan yang ikhlas daripada semua. Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya apabila seluruh negara dan penyokong berdiri teguh bersama kami.
“Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Garcés telah menyertai kem latihan pasukan sempena jendela FIFA semasa dan layak untuk dipilih dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam yang akan datang.