mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Luka lama masih belum sembuh, malah menjadi semakin pedih buat Harimau Malaya apabila kemenangan bergaya ke atas Vietnam sebelum ini bertukar menjadi igauan ngeri.
Segala-galanya bermula dengan kenangan manis apabila skuad negara mencipta detik bersejarah menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi.
Itu adalah kemenangan terakhir Harimau Malaya ke atas skuad Naga Emas, satu detik yang masih segar dalam ingatan penyokong setia bola sepak negara.
Selepas lebih sedekad menanti, sinar harapan kembali muncul apabila Malaysia berjaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila keputusan berkenaan dibatalkan susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.
Lebih perit, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bukan sahaja membatalkan kemenangan tersebut, malah menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada Vietnam.
Kesannya cukup besar apabila keputusan itu turut menjejaskan perjalanan Malaysia dalam kempen kelayakan termasuk aksi menentang Nepal, sekali gus memadam impian ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Kini, skuad kendalian Peter Cklamovski berdepan tugas getir untuk bangkit, bukan lagi memburu tiket kelayakan tetapi mengembalikan maruah yang tercalar.
Perlawanan di Nam Dinh dilihat sebagai pentas terbaik untuk Harimau Malaya menebus kembali kekecewaan selain menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam.
Aura kemenangan di Hanoi pada 2014 dilihat mampu menjadi pembakar semangat buat barisan pemain negara untuk kembali percaya kepada kemampuan sendiri.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan bahawa pemain tidak boleh sesekali hilang keyakinan walaupun berdepan situasi sukar ketika ini.
“Kita sudah pernah kalahkan Vietnam sebelum ini, jadi sekarang tidak perlu lemah semangat untuk tewaskan mereka lagi.
“Apa yang berlaku pada 2014 itu wajar dijadikan sumber inspirasi untuk Harimau Malaya hadapi perlawanan kali ini,” katanya.
Menurutnya, semua pemain perlu memberi fokus sepenuhnya dan melupakan episod pahit yang berlaku sebelum ini.
“Siapa saja yang dipilih, mesti bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun Harimau Malaya sudah tiada apa-apa harapan untuk layak ke Piala Asia 2027.
“Namun apa yang ada hanyalah mempertahankan martabat pasukan negara,” katanya lagi.
Vietnam kini selesa di tangga teratas kumpulan dengan 15 mata dan sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir, manakala Malaysia menghimpun sembilan mata di tangga kedua, namun maruah Harimau Malaya masih belum berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd






