New York: Carlos Alcaraz diletakkan dalam laluan berpotensi untuk pertembungan dengan Novak Djokovic di Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas undian bagi kejohanan perseorangan lelaki dan wanita didedahkan semalam.
Bintang Sepanyol itu dijangka berdepan laluan sukar ke final, di mana aksi sengit dijangka menanti dengan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner di Flushing Meadows.
Alcaraz yang berpeluang merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Sinner bergantung kepada keputusan di New York dalam tempoh dua minggu akan datang, perlu memulakan kempen dengan mantap bermula Ahad ini.
Pemain Sepanyol itu akan menentang pemain AS yang terkenal dengan servis kencang, Reilly Opelka di pusingan pertama.
Jika kejohanan berlangsung mengikut kedudukan pilihan, juara Terbuka AS 2022 itu akan bertemu bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, di separuh akhir.
Djokovic yang sedang memburu gelaran Grand Slam ke-25 untuk mencipta rekod baharu, akan memulakan kempen menentang pemain muda Amerika, Learner Tien, dalam pusingan pembukaan.
Pilihan ketujuh itu mendahului Alcaraz 5-3 dalam rekod pertemuan sebelum ini, termasuk kemenangan empat set ke atas pemain Sepanyol tersebut di suku akhir Terbuka Australia awal tahun ini.
Namun, prestasi legenda Serbia berusia 38 tahun itu menjadi tanda tanya menjelang Grand Slam terakhir musim ini, memandangkan dia tidak beraksi sejak mara ke separuh akhir Wimbledon bulan lalu.
Sinner, pilihan utama dan juara bertahan akan membuka kempen menentang pemain Republik Czech, Vit Kopriva di pusingan pertama.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu yang menarik diri pada set pertama ketika final Terbuka Cincinnati menentang Alcaraz awal minggu ini, berkemungkinan berdepan pemain Britain, Jack Draper di suku akhir.
Dalam undian perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Aryna Sabalenka akan memulakan kempen menentang pemain Switzerland, Rebeka Masarova yang kini di kedudukan ke-109 dunia.
Pilihan kedua, Iga Swiatek juara Wimbledon dan Terbuka AS 2022 berada di bahagian undian yang berbeza dan akan memulakan usaha untuk gelaran Grand Slam ketujuh menentang pemain Colombia, Emiliana Arango.
Laluan Iga ke final mungkin menyaksikan pertemuan dengan juara Terbuka AS 2023, Coco Gauff di separuh akhir. Gauff dijadual menentang wakil Australia, Ajla Tomljanovic pada pusingan pertama.
Sementara itu, Venus Williams berdepan cabaran besar sekiranya ingin melanjutkan penampilan yang mungkin menjadi penutup kariernya di Terbuka AS melepasi pusingan pertama.
Ikon tenis AS berusia 45 tahun itu diberikan wild card untuk menyertai pusingan pertama kejohanan, hampir 28 tahun selepas dia mara ke final Terbuka AS pertamanya sebagai pemain berusia 17 tahun pada 1997.
Venus bakal menentang pilihan ke-11 dari Republik Czech, Karolina Muchova, dalam pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd





