Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa ibarat final dalam usaha kedua-dua pasukan memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Lima pasukan teratas EPL akan layak ke pertandingan kelab elit Eropah musim depan dengan Arsenal berada dalam kedudukan kukuh untuk mengesahkan tempat mereka bersama Liverpool.
Biarpun begitu, persaingan dalam kalangan baki tiga pencabar terus sengit dalam melengkapkan jadual saingan musim ini apabila dipisahkan oleh dua mata.
Dengan baki lima perlawanan, City menuju perlawanan di Stadium Etihad pada Rabu di tangga keempat liga manakala Villa kendalian Unai Emery berada di tangga ketujuh, tetapi hanya ketinggalan satu mata.
Villa melangkah lebih jauh daripada City – yang tersingkir di peringkat playoff dalam Liga Juara-Juara musim ini, mara ke suku akhir sebelum dijinakkan gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
“Mereka adalah pencabar untuk layak ke Liga Juara-Juara. Anda lihat perlawanan yang mereka mainkan menentang rakan saya Luis Enrique (pengendali PSG), sejujurnya saya sangat kagum.
“Mereka boleh bermain dengan blok rendah dan bermain di tempat lawan, tetapi apabila mereka memutuskan untuk menyerang dengan senjata yang mereka miliki, kelajuan yang mereka ada, sepakan bola mati, mereka sangat teratur.
“Ia ibarat perlawanan akhir dan kami memerlukan sokongan penyokong kami kerana saya fikir penyokong kami mahukan Liga Juara-Juara musim depan sekali lagi.
“Kadangkala kami cuai, tidak bermain dengan baik, sekarang kami sangat memerlukan mereka untuk menyokong kami, untuk membuat bising dan sentiasa berada di sana kerana ia benar-benar perlawanan akhir bagi kami,” kata Guardiola.
City dan Villa juga berpeluang bertemu di final Piala FA pada Mei jika berjaya melepasi peringkat separuh akhir masing-masing – menentang Nottingham Forest dan Crystal Palace – di Wembley pada hujung minggu ini.
Salah seorang pemain Aston Villa yang menonjol sepanjang kempen ini ialah Morgan Rogers yang pernah bermain untuk Manchester City.
Pemain berusia 22 tahun itu menyertai skuad Guardiola pada 2019 dari West Bromwich Albion tetapi gagal membuat penampilan sulung dalam pasukan utama, menghabiskan masa secara pinjaman di Lincoln City, Bournemouth dan Blackpool.
Dia menandatangani kontrak dengan Villa pada Februari lalu dari Middlesbrough dan persembahannya yang cemerlang telah menyaksikan dia menyumbang 14 gol dan 13 bantuan gol musim ini, serta menerima panggilan menyertai skuad England.
Guardiola berkata: “Dia berada di pasukan kedua dan kadangkala berlatih bersama kami. Daripada apa yang kami lihat sepintas lalu, kami dapat melihat sesuatu, dia boleh melakukannya.
“Impaknya di Villa sangat luar biasa – pemain yang hebat, jadi kami mempunyai pemain yang luar biasa di sini.”
LIGA PERDANA INGGERIS
RABU (23 APRIL)
Manchester City lwn Aston Villa
(Stdm Etihad, 3 pagi)