Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bermula 1 Januari 2026.
Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pelaksanaan itu dibuat menerusi Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap platform yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan semua penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara teratur, konsisten dan berkesan, termasuk penyedia yang beroperasi dari luar negara, kata Komunikasi Korporat MCMC.
“Peruntukan Deeming ini dilaksanakan bagi menutup jurang pengawalseliaan, khususnya terhadap penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia tanpa kehadiran fizikal di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Pelaksanaan itu juga bertujuan mengukuhkan akauntabiliti platform serta memastikan pematuhan yang lebih jelas terhadap undang-undang Malaysia, khususnya berkaitan keselamatan pengguna dalam talian.

Bermula 1 Januari 2025, MCMC telah melaksanakan kerangka pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial bagi mewujudkan mekanisme kawal selia yang lebih tersusun terhadap platform dalam talian berskala besar.
“Pendekatan ini memastikan platform memikul tanggungjawab yang lebih jelas dan boleh dikuatkuasakan terhadap keselamatan dalam talian, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga,” katanya lagi.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming itu melibatkan platform yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Menurut kenyataan itu, penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi seperti biasa melalui platform global masing-masing tanpa kewajipan membuka pejabat fizikal di Malaysia.
“Tiada keperluan bagi penyedia perkhidmatan asing untuk membuka pejabat fizikal di Malaysia, namun mereka perlu melantik wakil tempatan bagi tujuan pematuhan terhadap keperluan kawal selia,” katanya.
Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) sebelum ini akan kekal berdaftar sehingga tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
MCMC menjelaskan pelaksanaan Peruntukan Deeming itu adalah sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar bagi memastikan akauntabiliti dan keselamatan pengguna.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming, orang ramai boleh merujuk laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf.





