Peruntukan pembangkang: PN tolak rundingan semula

Peruntukan pembangkang: PN tolak rundingan semula


SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) menolak untuk mengadakan rundingan semula dengan kerajaan berkenaan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Pengerusi PN, Tak Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN mempunyai asas untuk menolak syarat-syarat yang diberikan kerajaan berkenaan perkara itu yang turut disifatkan beliau sebagai ketat.

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan menjadi hak kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menjadi satu-satunya pembangkang menerima peruntukan tersebut.

“Mahu runding macam mana,… sudah beberapa kali, suah dua tahun lebih. Tidak mengapalah itu hak Syed Saddiq.

“Kami sudah usaha, sudah berapa kali sudah usaha. Dulu ketika zaman saya (Perdana Menteri) tidak payah minta, saya bagi.

“Kalau media baca apa syarat-syaratnya, semua kata tidak munasabah. Macam – macam perkara, yang ada pengalaman kami teliti dan kami tahu bertentangan dengan prinsip, itu sebab kami tidak terima, tidak terima dia (kerajaan) tidak berilah..,”katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden Bersatu di Nilai dekat sini semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, hanya Syed Saddiq yang telah menghantar surat dan bertemu dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

Kata beliau, secara prinsipnya Syed Saddiq telah bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membolehkan peruntukan itu disalurkan.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, sekiranya mereka menerima syarat-syarat yang diberikan, ia seolah-olah pembangkang terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada Pakatan Harapan (PH).

“PN ada sebab dan asas kenapa tidak boleh menerima syarat yang terlalu luar biasa dan ketat. Macam terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada PH hanya semata-mata untuk mendapat RM200, 000.

“Waktu kerajaan PN dulu kita beri semua tanpa bersyarat kerana ia bukan kegunaan peribadi tetapi duit itu untuk bantu rakyat di kawasan berkenaan. Tindakan ini seakan diskriminasi antara mereka yang sokong dan tidak sokong,” kata beliau lagi. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top