am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Pesakit yang mendapatkan rawatan dialisis di Pusat Dialisis Hospital Lati, Pasir Mas akan dihantar ke hospital dan pusat dialisis berdekatan susulan runtuhan bumbung bangunan berkenaan, malam tadi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Pengarah Hospital Pasir Mas supaya memberi keutamaan kepada pesakit yang menerima rawatan dialisis di hospital berkenaan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
Katanya, dianggarkan seramai 60 pesakit yang menerima rawatan dialisis di Hospital Lati, Pasir Mas dan pihak JKNK akan menguruskan kesemua pesakit berkenaan mendapatkan rawatan di hospital serta pusat dialisis berdekatan.
“Pesakit tidak perlu risau berkenaan perkara ini dan walaupun pada masa sama mungkin ada kesulitan, namun pihak kami cuba meminimumkannya bagi memberi rawatan yang terbaik kepada mereka.
“Buat sementara waktu, pusat dialisis di hospital ini tidak beroperasi dan jangkaan tempoh untuk beroperasi semula adalah bergantung kepada keadaan tahap kerosakan runtuhan bumbung bangunan pusat dialisis itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, beliau sudah mendapat maklumat insiden runtuhan bumbung Pusat Dialisis Hospital Lati, Pasir Mas dan pihaknya kini masih membuat siasatan berkenaan punca kejadian.
“Saya tidak mahu mendahului siasatan dan pada masa sama, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mana-mana agensi yang terbabit juga akan membuat pemantauan dan melakukan siasatan berhubung laporan insiden yang berlaku,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, bumbung bangunan pusat dialisis Hospital Pasir Mas di sini runtuh, pada jam 11.45 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd