KONTINJEN beregu lelaki yang besar pada Kejohanan Dunia di Paris akhir bulan ini bukan jaminan buat Malaysia untuk meraih gelaran kerana masih banyak perkara yang wajib diberi perhatian.
Peringatan tersebut dibuat Ketua Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang mahu setiap pemain memberi tumpuan penuh terhadap persiapan mental, fizikal dan kesihatan.
Malah, jurulatih dari Indonesia itu turut mengingatkan empat wakil beregu lelaki negara yang akan beraksi di pentas berprestij tersebut agar tidak leka dan mengekalkan disiplin tinggi dalam setiap aspek persiapan.
Empat pasangan itu adalah juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
“Empat pasangan ini belum tentu selamat. Semua kembali kepada persiapan. Ia bukan hanya soal teknik, tetapi bagaimana mereka menjaga diri — jangan sakit, jangan cedera.
“Sakit boleh dielakkan dengan jaga makan, jaga tidur dan elakkan gangguan luar gelanggang.
“Kecederaan pula perlu dicegah dengan pemanasan badan dan regangan yang betul sebelum dan selepas latihan,” katanya.
Aaron baru-baru ini turut meluahkan hasrat untuk melihat kesemua pasangan negara itu beraksi di pentas separuh akhir pada kejohanan yang bermula dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Rexy juga mengingatkan bahawa gandingan utama dunia seperti Korea Selatan, Indonesia, China, Jepun dan Denmark perlu diberi perhatian, selain beregu tuan rumah Perancis yang disifatkan sebagai ‘dark horse’.
“Kena berwaspada dengan semua lawan, tetapi jangan hanya bergantung pada reputasi.
“Apa yang penting ialah bagaimana kita membuat persiapan terbaik untuk menghadapi mereka,” katanya.
Beliau juga mahu setiap pemain berkongsi visi, matlamat serta sasaran yang sama dengan jurulatih.
“Kalau jurulatih sasarkan sesuatu, pemain juga mesti mempunyai pemikiran yang sama.
“Hanya dengan keserasian itu barulah kita boleh harap untuk melakar kejayaan,” katanya.