ALOR GAJAH – Seorang pesara guru tergamak bersubahat melakukan jenayah bersama anak perempuan dan kekasihnya yang menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan barang kemas bernilai lebih RM50,000 dari tujuh buah kedai emas sejak Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, kegiatan itu terbongkar selepas suspek berusia 61 tahun, anak perempuan dan kekasihnya masing-masing 26 tahun ditahan Polis Selangor, 5 Oktober lalu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek didapati terlibat dalam tujuh kes di tiga buah negeri iaitu di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Anak perempuan warga emas adalah individu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan seorang wanita bertudung dan berkaca mata hitam berpura-pura sebagai pelanggan kedai emas sebelum melarikan barang kemas.
“Turut terlibat sebagai rakan sejenayah adalah teman lelakinya manakala ibunya berperanan sebagai penjual emas-emas yang dicuri pasangan kekasih itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan terhadap pasangan kekasih itu mengaku melakukan jenayah di tiga buah kedai emas di Alor Gajah iaitu di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang.
“Selain di Melaka, wanita yang bekerja sebagai pembantu pengurus dan kekasihnya yang tidak bekerja telah melakukan jenayah sama di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kesemua barang kemas yang telah dicuri dalam tujuh kes di ketiga-tiga buah negeri bagaimanapun telah dijual dan tiada rampasan semasa penahanan ketiga-tiga suspek,” katanya.
Tambah Azrul, pasangan kekasih itu direman sehingga esok manakala reman pesara guru tamat hari ini.
“Bagaimanapun ketiga-tiga suspek akan ditangkap semula dan direman bersangkut dua lagi kes lain di Alor Gajah.
“Kes disiasat atas kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.
Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan polis memburu dua individu termasuk wanita selepas dipercayai melarikan gelang tangan emas dari sebuah kedai emas di Alor Gajah membabitkan kerugiaan RM10,000.
Semakan polis mendapati individu sama dipercayai telah melarikan barang kemas bernilai RM15,000 di Pulau Sebang, Julai lalu dengan modus operandi suspek adalah berpura-pura menjadi pelanggan dengan mahu melihat barang kemas sebelum melarikannya.
Pada 16 September lalu, suspek sama dipercayai melarikan rantai emas bernilai RM30,000 di sebuah kedai emas di Kuala Selangor susulan tular CCTV menunjukkan suspek memasuki kedai emas dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi. – MalaysiaGazette