Pesara guru maut ditikam anak pemegang kad OKU mental

Pesara guru maut ditikam anak pemegang kad OKU mental


KUALA PILAH: Seorang lelaki yang juga pesara guru maut selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh anak lelakinya yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Senaling di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian lebih kurang pukul 4.40 petang tadi.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati si mati berusia 65 tahun dan semasa kejadian turut berada di dalam rumah ialah isteri si mati dan juga suspek yang berusia 32 tahun.

“Hasil pemeriksaan pada badan si mati mendapati terdapat satu kesan tikaman pada bahagian belakang badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini telah turut berjaya ditemui di tempat kejadian.

“Selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta. Suspek telah dikesan dan berjaya ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Amran, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati suspek telah meninggal dunia dipercayai akibat meminum bahan peluntur.

“Motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri. Semasa dipujuk oleh mangsa, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.

“Mayat mangsa dan suspek dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi tujuan bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.

 





Source link

OR

Scroll to Top