TAWAU: Kira-kira 170 penumpang pesawat AirAsia AK5741 dari Tawau ke Kuala Lumpur selamat selepas pesawat dinaiki terpaksa berpatah balik susulan masalah pada bahagian enjin, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.03 petang, pesawat AirAsia tersebut mendapatkan kebenaran untuk berpatah balik akibat masalah enjin setelah sejam pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau.
Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Rehan Shafiq Azizan dalam satu kenyataan berkata, semua penumpang dalam keadaan baik dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Katanya, insiden tersebut tidak menjejaskan operasi lain di Lapangan Terbang Tawau.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira pukul 3.03 petang setelah dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Kawalan Trafik Udara (CAAM ATC).
Beliau berkata, juruterbang yang mengendalikan pesawat AK 5741 mendapatkan kebenaran CAAM ATC untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Tawau setelah mendapati berlaku masalah pada bahagian enjin pesawat.
Susulan itu, Perkhidmatan Penyelamat dan Bomba Pesawat (AFRS) telah mengaktifkan operasi dan bersedia dengan kenderaan di kedudukan masing-masing.
Rehan berkata, pesawat tersebut berjaya melakukan pendaratan dengan selamat pada pukul 4.34 petang.