fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan penerbangan KT051 (MH8110) yang membawa jemaah haji Malaysia, terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada 4.11 petang tadi waktu tempatan.
Dalam satu kenyataan, TH memaklumkan pesawat itu mengalami isu teknikal namun tidak memperincikan dengan lebih lanjut.
“Semua 278 Jemaah haji berada dalam keadaan selamat dan pihak keluarga tidak perlu risau,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, KT051 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2.06 petang waktu Malaysia.
Mengikut jadual, pesawat terbabit dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi sekitar 5.50 petang waktu tempatan hari sama.
Berikutan isu teknikal dialami pesawat, TH memaklumkan pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selanjutnya.
“Sekiranya perlu, semua jemaah akan menginap di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan.
Dalam pada itu, seorang jemaah haji yang menaiki pesawat terbabit meninggalkan komen di Facebook, memaklumkan dia bersama suaminya dalam keadaan baik.
Pengguna akaun Mazdiana Makmor itu memberitahu besar kemungkinan jemaah yang menaiki pesawat berkenaan perlu bermalam di Muscat.
“Saya dan suami merupakan jemaah dalam pesawat ini. Alhamdulillah, kami baik-baik sahaja. Mungkin kena bermalam di sini.
“Menurut juruterbang, perlu menunggu kapal terbang gantian dari Jeddah. Doakan kami semua,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






