Skuad Uruguay masih terkandas di Mexico selepas tidak mendapat kebenaran mendarat di AS. Foto: Agensi
PERSIAPAN Uruguay menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 terganggu apabila pesawat yang membawa pasukan kebangsaan itu dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS) menyebabkan skuad tersebut terkandas di Mexico, kurang 24 jam sebelum perlawanan pertama.
Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) mengesahkan pesawat sewa khas yang membawa pasukan berkenaan tidak memenuhi dokumentasi penerbangan yang ditetapkan pihak berkuasa AS, sekali gus menyebabkan ia tidak dibenarkan memasuki ruang udara negara itu.
Susulan insiden itu, AUF bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) segera mengambil langkah alternatif bagi memastikan pasukan dapat tiba tepat pada masanya ke lokasi perlawanan.
Media tempatan melaporkan satu penerbangan baharu telah diatur pada jam 4.15 petang waktu Miami, dengan Uruguay masih mempunyai ruang untuk mendarat sebelum tempoh akhir jam 7 malam yang ditetapkan penganjur.
Ketika ini, keseluruhan skuad kendalian Marcelo Bielsa masih berada di kompleks latihan Mayakoba di Cancun dengan beberapa persiapan penting terjejas termasuk sidang media rasmi pra-perlawanan yang turut ditangguhkan.
Walaupun tiada kesan langsung terhadap tahap kecergasan pemain dilaporkan, situasi tersebut dilihat mengganggu tumpuan pasukan yang kini berdepan tekanan tambahan menjelang aksi pembukaan kumpulan.
Uruguay, juara dunia dua kali, dijangka menjadi antara pencabar utama dalam kumpulan mereka bersama Sepanyol, dan sebarang gangguan saat akhir dilihat boleh memberi kesan kepada momentum pasukan.
Perlawanan menentang Arab Saudi dijadualkan berlangsung pada jam 6 petang waktu tempatan di Miami (6 pagi waktu Malaysia) dengan situasi perjalanan yang tidak menentu menambah cabaran kepada persiapan pasukan Amerika Selatan itu.
Insiden ini turut menambah kepada beberapa isu logistik yang berlaku pada awal kejohanan, meskipun kes melibatkan larangan kemasukan pesawat pasukan akibat masalah dokumentasi jarang berlaku di pentas sebesar Piala Dunia.






