Kuantan: Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata seorang juruterbang serta pembantu juruterbang dilaporkan selamat dalam kejadian pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan), malam ini.
Beliau berkata insiden berkenaan berlaku ketika pesawat hendak berlepas dari landasan.
“Polis sahkan kejadian berkenaan dan juruterbang serta pembantu juruterbang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam pada itu, rakaman video dikongsi orang awam di media sosial menunjukkan enjin pesawat terbabit mengalami kebakaran ketika berlepas.
TUDM memiliki lapan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dua enjin F/A-18D Hornet yang dibeli daripada McDonnell Douglas (kini Boeing) dan diterima pada 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd