Jakarta: Sebuah pesawat turboprop jenis ATR 42-500 yang dilaporkan hilang di ruang udara Sulawesi pada Sabtu, disyaki terhempas ketika terbang rendah semasa fasa pendaratan di Makasar, lapor Jakarta Globe.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa pesawat yang dikendalikan Indonesia Air Transport itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Adi Sucipto, Yogyakarta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin.
Pesawat berkenaan membawa 10 orang terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang serta dikendalikan oleh juruterbang berpengalaman, Kapten Andy Dahananto.
Berdasarkan kronologi penerbangan dan kedudukan terakhir, pihak berkuasa percaya insiden berlaku semasa fasa kritikal iaitu ketika pesawat menghampiri landasan.
Kawasan sekitar Makasar mempunyai muka bumi pergunungan batu kapur yang curam, menjadikannya berisiko tinggi bagi pesawat yang terbang rendah jika keluar dari laluan asal.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman Laisa berkata, pegawai kawalan trafik udara (ATC) di Makasar sebelum itu mengarahkan pesawat berkenaan melakukan pendaratan di Landasan 21.
“Semasa proses pendaratan dilakukan, pesawat itu dikenal pasti tidak berada di laluan pendaratan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Pegawai ATC kemudian mengeluarkan arahan pembetulan untuk membimbing semula pesawat ke trajektori pendaratan yang betul mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Bagaimanapun, sejurus selepas arahan tambahan dihantar, komunikasi dengan pesawat gagal sepenuhnya sebelum ia diisytiharkan hilang kontak.
Lukman menyatakan bahawa data penerbangan global menunjukkan kebanyakan insiden pesawat berlaku semasa fasa pendaratan terutamanya di kawasan yang mempunyai halangan semula jadi.
Kru penerbangan juga diwajibkan sentiasa meningkatkan kewaspadaan apabila berhadapan dengan cuaca sukar diramal di koridor pendaratan ke lapangan terbang berkenaan.
Pesawat ATR 42-500 dengan pendaftaran PK-THT dilaporkan berusia 26 tahun mengikut rekod pengeluaran dan pendaftaran.
Susulan kejadian itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) segera dikerahkan dengan tumpuan diberikan di kawasan pergunungan batu kapur Bantimurung dalam daerah Maros.
© New Straits Times Press (M) Bhd





