Peserta atlet terjun wanita Terengganu SUKMA 2024 tanpa restu kerajaan negeri

Peserta atlet terjun wanita Terengganu SUKMA 2024 tanpa restu kerajaan negeri


KUALA LUMPUR – Penyertaan atlet terjun wanita Islam yang mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dibuat Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim mengakui terkejut dan kecewa dengan laporan berhubung penyertaan atlet tersebut.

Sehubungan itu beliau juga telah meminta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyediakan laporan lengkap dan akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci selepas selesai SUKMA 2024.

“Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan penyertaan atlet terjun wanita beragama Islam yang mewakili Terengganu yang bercanggah dengan kod etika pemakaian atlet Muslim ketika bersukan yang ditetapkan kerajaan negeri itu.

Jelas Hishammudin, pihaknya dimaklumkan penyertaan atlet wanita terjun itu dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu menggunakan perbelanjaan sendiri namun memohon kuota atlet Terengganu.

Katanya, Persatuan Renang Amatur Terengganu juga telah melakukan kunjungan hormat kepada beliau pada 5 Jun lalu untuk memohon pelepasan itu.

“Waktu itu juga saya telah tegaskan Kerajaan Negeri tidak dapat membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika ianya seorang muslim.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara ini,” katanya.

Tambah beliau, penegasan awal kepada MSNT adalah supaya tiada atlet wanita Terengganu dan muslim yang menyertai acara itu kerana pakaian atlet wanita tidak mematuhi kod etika ditetapkan sekalipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top