Impian Hrishikesh bertarung di pentas UFC tidak kesampaian apabila dia maut diserang beruang hitam ketika bekerja di kawasan pedalaman Kanada. Foto: Agensi
DUNIA seni bela diri campuran (MMA) dikejutkan dengan kematian tragis seorang petarung muda yang sedang memburu impian beraksi di pentas Ultimate Fighting Championship (UFC) selepas diserang seekor beruang hitam ketika bekerja di kawasan pedalaman Kanada.
Hrishikesh Koloth, 27, yang berasal dari Kerala, India, maut dalam kejadian pada 8 Mei lalu ketika bertugas sebagai juruteknik kontrak di sebuah tapak penerokaan uranium berhampiran Tasik Nordbye di utara Saskatchewan.
Kisah itu mengundang perhatian peminat MMA di seluruh dunia kerana mengingatkan mereka kepada bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov yang pernah menjadi tular menerusi rakaman bergusti dengan seekor anak beruang ketika kecil di kampung halamannya di Dagestan, Russia.
Namun, nasib Hrishikesh jauh berbeza.
Menurut laporan media Kanada, beruang hitam terbabit menyerang Hrishikesh ketika dia berada di lokasi terpencil yang dikendalikan UraniumX Discovery Corp, kira-kira 850 kilometer di timur laut Saskatoon.
Seorang pekerja lain di lokasi kejadian bertindak menembak mati haiwan berkenaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, sebelum bangkainya dihantar untuk pemeriksaan lanjut.
Insiden itu dilaporkan menjadi serangan beruang maut keempat yang direkodkan dalam sejarah Saskatchewan.
Hrishikesh berpindah ke Kanada bersama abangnya, Arjun kira-kira tiga tahun lalu dan menetap di Penticton, British Columbia, sambil meneruskan latihan MMA yang diceburinya sejak lebih sedekad lalu.
Menurut keluarganya, Hrishikesh sentiasa memasang impian untuk melangkah ke UFC dan sedang membina nama dalam arena MMA amatur Kanada.
Lebih menyayat hati, Hrishikesh dilaporkan bakal memulakan kerjaya baharu sebagai jurulatih tinju di Vancouver hanya beberapa minggu selepas kejadian berkenaan.





