Petinju kontroversi jantina tak sertai Kejohanan Dunia

Petinju kontroversi jantina tak sertai Kejohanan Dunia


London: Imane Khelif mempunyai hak untuk merayu keputusan World Boxing yang menghalangnya daripada menyertai kejohanan melainkan menjalani ujian genetik jantina, namun peninju Algeria itu tidak bertanding di Kejohanan Dunia kerana tidak mengemukakan penyertaan, kata Presiden World Boxing, Boris van der Vorst.

World Boxing yang akan mengendalikan acara tinju di Sukan Olimpik 2028, memperkenalkan ujian jantina wajib bagi semua peninju dalam kejohanan mereka pada Mei lalu, kurang setahun selepas Khelif dan Lin Yu-ting dari Taiwan memenangi emas di Paris di tengah-tengah kontroversi mengenai status jantina mereka.

Namun Khelif mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) – mahkamah tertinggi sukan – untuk membatalkan keputusan World Boxing yang mewajibkan peninju menjalani ujian genetik PCR.

“Dia ada hak untuk berbuat demikian (merayu). Bagi kami, penting untuk menegaskan bahawa ujian wajib ini diperkenalkan bagi memastikan pertandingan berlangsung dengan selamat, kompetitif dan adil.

“Kami umumkan pada Mei lalu. Dan bagi kami, semua adalah sama. Setiap wanita di sini perlu menyerahkan beberapa dokumen, termasuk ujian jantina,” kata Van der Vorst, hari ini.

Kejohanan Tinju Dunia akan bermula di Liverpool, esok, dan apabila ditanya sama ada Khelif akan gagal dalam ujian itu, Van der Vorst berkata: “Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Dia tidak mengemukakan penyertaan melalui persekutuannya di Liverpool.”

Persekutuan Tinju Algeria tidak memberi maklum balas ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Semalam, World Boxing turut mengesahkan bahawa Lin dari Taiwan juga tidak akan bertanding di kejohanan dunia kali ini.

“Saya tahu dia juga tidak tersenarai dalam senarai penyertaan persekutuan kebangsaan,” tambah Van der Vorst.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top