September 8, 2024

Petronas anugerah tiga kontrak perkongsian pengeluaran MBR+

Petronas anugerah tiga kontrak perkongsian pengeluaran MBR+


PETALING JAYA: Petronas memeterai Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk tiga kluster peluang sumber yang ditemui (DRO), dipasarkan di bawah Pusingan I bagi Pusingan Bidaan Malaysia Tambahan (MBR+), kesemuanya terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Di bawah PSC Kumpulan Aset Medan Kecil (SFA), terdapat tiga medan yang terdiri daripada medan Bubu, Bunga Tasbih dan Enau dianugerahkan kepada Ping Petroleum Sdn. Bhd. dan Duta Marine Sdn .Bhd., manakala satu lagi, PSC Kumpulan SFA yang ditandatangani terdiri daripada empat medan iaitu Puteri, Padang, Penara dan North Lukut telah dianugerahkan kepada Jadestone Energy (PM) Inc.

PSC yang dianugerahkan merangkumi portfolio 12 medan, terdiri daripada aset minyak dan gas dalam lembangan Melayu di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, medan Pertang, Kenarong, Noring dan Bedong telah dianugerahkan kepada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. di bawah terma hasil lebih baik daripada kos.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, pihaknya gembira melihat pengendali terus mengembangkan portfolio mereka di Malaysia.

“Kepakaran teknikal khusus dan ketangkasan mereka adalah penting dalam mengatasi cabaran unik untuk menjana pendapatan dan membangunkan aset DRO dengan cepat dan selamat.

“MPM akan terus memberikan sokongan yang diperlukan dan memupuk kerjasama untuk memudahkan penjanaan hasil aset-aset ini.

“Tambahan pula, MBR+ dan Petronas myPROdata telah menjadi kunci dalam membuka peluang kepada pelabur berpotensi dan pemain sedia ada untuk mengejar peluang pertumbuhan perniagaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terletak dalam lembangan hidrokarbon yang terbukti dan berdekatan dengan infrastruktur sedia ada, kumpulan DRO ini menawarkan peluang pembangunan sinergistik untuk penjanaan pendapatan.

Dalam beberapa minggu akan datang, Petronas akan menandatangani lebih banyak PSC MBR+. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top