Kuala Lumpur: Mahu pekerjanya sentiasa berinovasi, berdaya saing, dan berani menerokai bidang perniagaan, PETRONAS tampil dengan inisiatif baharu bagi mencungkil bakat usahawan dalam kalangan kakitangannya.
Melalui PING23 Sdn Bhd atau PETRONAS Innovation Garage (PING) yang juga anak syarikat PETRONAS Leadership Centre (PLC), pekerja terpilih berpeluang untuk menubuhkan syarikat pemula tersendiri dengan bimbingan menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif PING, Zafirah Bahiyyah M Zulkifli, berkata PING yang ditubuhkan pada Julai 2023, adalah program inkubator korporat PETRONAS yang menyokong semangat dan potensi keusahawanan kakitangannya.
Tambah beliau, PING tampil sebagai satu sistem sokongan yang menyeluruh dan turut menyediakan ekosistem selamat untuk usahawan kelahiran PETRONAS membina idea kepada solusi yang inovatif dan boleh dilaburkan. Ia turut mengambil kira cabaran usahawan baharu bagi memulakan perniagaan mereka.
Zafirah Bahiyyah berkata, laluan keusahawanan pekerja yang terpilih untuk menyertai program PING dipantau sepenuhnya selama setahun dan merangkumi bantuan pakar di dalam bidang yang khusus, pembiayaan, peningkatan kemahiran, bimbingan, dan akses kepada kemudahan penyelidikan serta pembangunan perniagaan.
“Ini boleh dikatakan batu loncatan untuk kakitangan PETRONAS yang ingin menceburi bidang perniagaan.
“Sejak program ini dilancarkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan pada peringkat awal, dan PING menerima sebanyak 120 penyertaan.
“Bagi fasa yang pertama iaitu Accelerate, 46 usahawan dalam kakitangan terpilih untuk melalui program selama empat bulan, di mana lima syarikat pemula berjaya ditubuhkan selepas memenangi pembentangan idea pada akhir program.
“Mereka yang berjaya di fasa pertama kemudian ditawarkan untuk melancarkan syarikat pemula di fasa kedua dan kakitangan perlu menandatangani kontrak dengan PING selama setahun. Dalam tempoh itu, kakitangan masih menerima gaji bulanan seperti biasa.
“Namun, mereka tidak perlu lagi menjalankan tugas hakiki, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada projek perniagaan pemula masing-masing.
“Cabaran sebenar bermula selepas tamat kontrak bersama PING kerana selepas itu mereka bukan lagi kakitangan PETRONAS, tetapi perlu berdikari sebagai usahawan,” katanya pada Hari Terbuka PING di Petrosains, KLCC, baru-baru ini.
Beliau juga berkongsi, program keusahawan ini akan menjadi inisiatif tahunan PETRONAS dengan penyertaan idea untuk kohort ketiga PING sudah pun dimulakan dari bulan lalu.
Katanya, PING menjadi platform untuk kakitangan PETRONAS berkongsi idea mereka berkaitan perniagaan, seterusnya menjadi pelopor untuk mereka maju sebagai usahawan yang mampu mencipta nilai untuk syarikat mereka mahupun menyumbang kepada industri atau sektor lain.
Pada Hari Terbuka tersebut, PING turut mengumumkan pelaburan bernilai RM1.2 juta membabitkan syarikat pemula yang membangunkan akademi berkaitan robotik iaitu JAZRO Robotic Academy (JAZRO) yang menerima dana daripada Gobi Partners melalui Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) yang disokong Khazanah Nasional Berhad.
Tiga lagi syarikat pemula daripada kohort 1 PING adalah Tigasfera Greentech Sdn Bhd yang tampil dengan kaedah baharu pembuangan sisa buangan yang mesra alam sekitar; V-Cred Sdn Bhd, iaitu syarikat penemuan pengetahuan dan penyelesaian AI–kecerdasan buatan untuk penilaian pakar dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang dan FarmDirect Group Sdn Bhd yang menawarkan penyelesaian komprehensif kepada pengusaha tanaman yang berdepan cabaran dalam akses teknologi dan pasaran pertanian terkini.
Dimensi baharu
Dzulfarqaeish mahu membimbing lebih ramai generasi muda.
Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JAZRO, Dzulfarqaeish Zainuddin, 36, melalui PING, impiannya untuk membantu lebih ramai generasi muda menguasai bidang sains dan teknologi dapat direalisasikan.
“Saya bermula dengan mengajar anak lelaki saya pengekodan robotik, daripada situ saya kemudiannya menubuhkan sebuah akademi yang sehingga kini sudah disertai lebih 40,000 pelajar.
“Misi saya dengan menyertai PING adalah untuk membimbing lebih ramai generasi muda di Malaysia supaya kita bukan sekadar jadi pengguna, tetapi menjadi pembangun dan pemula kepada inovasi baharu,” katanya yang berkhidmat selama 12 tahun di PETRONAS.
Pengasas bersama V-Cred, Law May, 28, melihat perjalanannya dalam PING mematangkan, dengan pelbagai ilmu dan pengalaman baharu diterokai bersama dua lagi rakan pengasas syarikatnya.
“Saya masih baharu, hanya tiga tahun berkhidmat dengan PETRONAS, malah tak pernah terfikir akan menceburi bidang keusahawan atau menjadi ketua dalam sebuah projek.
“Aspek teknologi adalah kepakaran kami, tetapi kami memerlukan bantuan dan tunjuk ajar dari segi pemasaran dan jualan. Jadi peluang yang diberikan PING sangat berharga, antaranya melalui geran dan bantuan pakar yang memantau perkembangan perniagaan setiap dua minggu, ini yang membantu kami untuk terus yakin dan berani,” katanya.
Sementara itu, CEO Tigasfera, Yusof Faizal Amin, 42, berkata pengalamannya selama dua dekad berkhidmat sebagai jurutera dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan – Asia Timur dan Australia di PETRONAS memberi cetusan idea untuk memulakan perniagaan baharu yang turut bermatlamat memberi perlindungan kepada alam sekitar.
“PING memberi peluang untuk saya ceburi bidang baharu yang jauh berbeza berbanding tugas hakiki sebelum ini.
Berbekalkan pengalaman dikutip sepanjang bersama PETRONAS, timbul idea untuk menukar bahan buangan seperti biomass dan sisa pepejal, kepada biochar dan sumber elektrik, di lokasi sumber itu sendiri, contohnya tapak industri dan kilang pemprosesan perladangan.
“Kami lihat potensi projek ini mengambil kira ia boleh diadaptasi oleh semua industri dan pada masa sama, pelanggan mendapat manfaat kerana bahan buangan boleh ditukarkan sebagai sumber kewangan,” katanya.
PING inisiatif baharu keusahawanan
Sejajar dengan komitmen PETRONAS untuk menyokong keusahawanan dengan menyediakan ruang selamat, inisiatif PING telah membuka jalan ke arah era baharu inovasi.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan, Ruslan Islahudin, berkata PING adalah bukti dedikasi PETRONAS dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pekerja.
Ia menggalakkan kakitangan PETRONAS berfikir secara kreatif, menerima risiko, dan meneruskan aspirasi keusahawanan yang diceburi. Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan budaya inovasi dalam syarikat, tetapi juga berpotensi untuk mempengaruhi industri dengan lebih luas.
“Kami percaya bahawa dengan memupuk budaya pekerja bermotivasi, berinovasi, dan meneruskan usaha niaga keusahawanan menjadikan inisiatif PING mampu menjangkau lebih jauh.
“Nilai keusahawanan ini bukan sekadar projek, tetapi juga berpotensi untuk menjana peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pasaran pekerjaan negara. Ini selaras dengan matlamat PETRONAS yang lebih luas untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan negara melalui inisiatif strategik,” katanya.
Secara ringkasnya, PING bukan sekadar program. Ia adalah inisiatif dalam PETRONAS yang memperjuangkan minda keusahawanan, menjanjikan untuk membawa perubahan transformatif dalam syarikat, dan seluruh industri secara amnya.
Ia merupakan gambaran yang jelas mengenai pendekatan pemikiran terhadap PETRONAS dan komitmennya untuk memacu kemajuan melalui inovasi dan keusahawanan.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai PING, lawati www.petronas.com/ping.
© New Straits Times Press (M) Bhd