KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), menyasar untuk menyokong keteguhan sektor minyak dan gas tempatan menerusi dua inisiatif baharu.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, syarikat minyak negara itu mengumumkan pelancaran kontrak Perkhidmatan Kesinambungan Telaga Bersepadu (IWCS) dan rancangan penubuhan Akademi Unit Penyelenggaraan dan Pembaikan Hidraulik (HWU) MPM.
“Kontrak IWCS dirangka untuk menangani cabaran yang timbul berikutan peningkatan kos dan keadaan pasaran yang dinamik dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih seimbang bagi pengurusan kos dan margin berbanding model Perkhidmatan Telaga Bersepadu (IWS) yang terdahulu,” jelas Petronas.
Menurut Petronas IWCS mengguna pakai strategi kontrak yang komprehensif, membahagikan kerja kepada empat pakej utama dan 13 subpakej yang meliputi bidang penting seperti intervensi telaga, penutupan telaga serta penyelenggaran dan pembaikan telaga sedia ada, di samping perkhidmatan intervensi bawah laut.
Susulan proses penilaian teknikal yang teliti dan ketat, sebanyak 34 kontraktor panel berkelayakan telah dipilih untuk melaksanakan kerja tersebut dan pendekatan baharu itu dijangka merangsang kerjasama yang saksama dan berkesan dalam projek kejuruteraan telaga, tambah Petronas.
Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata kontrak IWCS merupakan satu lonjakan besar dalam strategi pengurusan telaga Petronas dengan menekankan pengoptimuman sumber dan kesinambungan pekerjaan.
Beliau berkata di samping itu, Akademi HWU MPM akan menjadi penting dalam usaha memperkukuh kepakaran tempatan untuk memastikan sektor itu kalis masa hadapan.
“Petronas terus mengutamakan inisiatif seperti kontrak IWCS dan Akademi HWU MPM untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan memupuk kerjasama merentas industri.
“Semua usaha ini akan membantu dalam meletakkan Malaysia secara strategik, dengan lebih kompetitif dalam pasaran tenaga global,” katanya.
Akademi HWU MPM dijangka dilancarkan tahun depan dan akan berperanan penting dalam membangunkan kemahiran khusus bagi penutupan telaga serta penyenggaraan dan pembaikan telaga sedia ada, menurut Petronas.
Syarikat itu menjelaskan Akademi HWU MPM telah ditubuhkan melalui Memorandum Persefahaman antara Petronas dan penyedia perkhidmatan HWU tempatan dan antarabangsa, bertujuan memperkasakan tenaga kerja yang berkebolehan untuk pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan yang mampan.
— BERNAMA