Hakim Danish (kanan) memberi banyak petua buat Qabil Irfan (tengah) dalam saingan ESBK di Aragon. Foto FB ZK Racing.
PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan meluahkan penghargaan buat Hakim Danish Ramli yang banyak membantunya sepanjang Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Sepanyol.
Beliau berkata, kehadiran pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup dan JrGP itu amat bermakna kerana sudi berkongsi pelbagai panduan bagi mengharungi perlumbaan di Aragon tersebut.
“Terima kasih kepada Hakim Danish yang banyak membantu saya daripada segi tunggangan dan strategi.
“Penghargaan juga buat ketua kru dan pasukan Frando Racing VHC yang sentiasa memberi sokongan sepanjang minggu ini,” katanya.
Pelumba berusia 13 tahun itu menamatkan kedua-dua perlumbaan di Aragon sebagai naib juara.
Menerusi beberapa video yang dikongsikan ZK Racing, Hakim Danish yang tidak berlumba pada minggu lalu dilihat turut berada di pit pasukan Qabil bagi memberi semangat kepada rakan senegaranya itu.
Menyentuh mengenai perlumbaan tersebut, Qabil Irfan mengakui telah mengerah segala kudrat sebelum menamatkan saingan di tempat kedua.
“Perlumbaan agak mencabar kerana terlalu ramai pelumba dalam kelompok hadapan.
“Saya cuba kekalkan kelajuan dan cuba pasang strategi menyerang di pusingan terakhir.
“Saya hampir menang, tetapi Alessio (Arnorld) berjaya memintas sebelum garisan penamat,” katanya.
Keputusan tersebut tidak menggugat kedudukan Qabil Irfan di carta kejuaraan ESBK Talent setelah mengutip 135 mata hasil tiga gelaran dan tiga penamat kedua.
Ia menyaksikan pelumba muda itu berkelebihan 43 mata di depan pencabar terdekat, Izan Rodriguez yang mengumpul 92 mata, manakala Alessio di kedudukan ketiga dengan 82 mata.