am@hmetro.com.my
Sepang: Jasa khidmat bakti pasukan barisan hadapan tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya menjadi aktiviti wajib Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang untuk meraikan menerusi program singgah sahur.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, program itu bertujuan menyemarakkan lagi bulan Ramadan, dan mengeratkan hubungan anggota keselamatan serta perubatan bersama pemimpin tempatan.
Katanya, antara destinasi yang dikunjungi adalah balai polis Dengkil, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sepang, Hospital Cyberjaya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya.
“Kami berkonvoi ke destinasi yang dipilih bagi mengagihkan sajian sahur bermula jam 12.30 tengah malam.
“Objektif kita adalah menghargai pasukan barisan hadapan yang bertugas syif malam selain memupuk silaturahim antara semua pihak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan & Sumbangan KASIH @Sepang di Masjid Al-Khairat Kampung Olak Lempit, semalam.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) berkata, konvoi singgah sahur ini diakhiri dengan program bersahur bersama pegawai dan anggota JBPM Cyberjaya agensi di bawah kementeriannya.
Katanya, beliau sempat membantu anggota JBPM menyediakan juadah bersahur untuk hidangan anggota bertugas pada syif malam di dapur bergerak yang disediakan.
“Program ini sebagai sumbangan dan penghargaan pihak kami kepada pasukan barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira masa demi kepentingan orang ramai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd