PERSATUAN Bolasepak Perlis (PFA) melahirkan rasa dukacita dan kecewa yang amat mendalam terhadap sikap acuh tidak acuh serta ketidaktanggungjawaban kerajaan negeri dalam menangani krisis yang melanda bola sepak negeri ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, Jawatankuasa Eksekutif PFA menyifatkan tindakan berdiam diri, kegagalan memberi sokongan yang sewajarnya, serta ketiadaan pelan pemulihan yang jelas seolah-olah mencerminkan bahawa kerajaan negeri tidak lagi berminat melihat institusi bola sepak negeri itu terus hidup.
“Siri tindakan atau lebih tepat, kegagalan bertindak yang berterusan ini menimbulkan tanggapan bahawa terdapat niat tersembunyi atau kecenderungan untuk ‘membunuh’ PFA secara perlahan-lahan.
“Sama ada melalui pengabaian sokongan kewangan, pengasingan pentadbiran, atau penafian hak bersuara kepada penggiat sukan di peringkat akar umbi, semuanya memberi kesan yang amat mendalam kepada kesinambungan bola sepak negeri,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
PFA menegaskan bahawa bola sepak negeri bukan semata-mata aktiviti sukan, tetapi merupakan lambang perpaduan, wadah aspirasi belia, dan simbol maruah rakyat Perlis di peringkat kebangsaan.
“Sebarang usaha mengabaikan institusi ini disifatkan sebagai usaha memadamkan api semangat generasi muda yang bercita-cita membawa nama negeri ke mercu kejayaan,” tambahnya.
Sehubungan itu, PFA menyenaraikan tiga tuntutan utama kepada kerajaan negeri yang perlu diberi perhatian segera iaitu menjelaskan secara terbuka pendirian rasmi kerajaan terhadap hala tuju bola sepak Perlis.
“Menyalurkan bantuan kewangan atau menyediakan geran khas bagi menyelamatkan PFA dari terus lumpuh.
“Menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan PFA serta penggiat sukan negeri bagi merangka pelan penyelamatan dan pembangunan jangka panjang,” katanya.
Pada masa sama PFA turut menggesa agar kerajaan negeri menghentikan budaya berdiam diri dan bertindak secara proaktif sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Jangan menunggu PFA tumbang sepenuhnya sebelum tampil dengan retorik simpati. Jika benar ingin menguburkan kami, nyatakan secara jujur di hadapan rakyat.
“Jika tidak, buktikan keikhlasan dengan tindakan konkrit, bukan sekadar janji kosong atau ucapan berbaur politik,” katanya.
Badan induk itu juga berharap gesaan tidak dipandang sebagai serangan, tetapi sebagai seruan ikhlas demi menyelamatkan maruah bola sepak negeri dan masa depan generasi muda Perlis.