nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lima kotak mengandungi pelbagai barangan kosmetik yang diseludup dari Thailand bernilai lebih RM92,000.
Rampasan dilakukan di pangkalan haram Kertas, Pengkalan Kubor, pada 10.15 pagi semalam oleh Batalion 8 PGA menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya ternampak beberapa kotak semasa membuat rondaan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima kotak mengandungi produk kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen yang sah. Produk kosmetik ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 92,100.00 dan kes disiasat dibawah Sek 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu dalam operasi berasingan di Jalan Pohon Tanjong, Pasir Mas, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit menerusi tangkapan dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita warga Thailand berusia 40 dan 43 tahun.
Katanya, tangkapan dilakukan Batalion 7 PGA pada 8.15 pagi, membawa kepada rampasan barangan runcit tanpa permit bernilai RM24,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983. Barang rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah, Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd