PGA rampas tujuh tan pakaian bundle seludup

PGA rampas tujuh tan pakaian bundle seludup


TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas tujuh tan pakaian terpakai atau bundle yang diseludup dari Thailand bernilai RM350,000 selepas menahan seorang lelaki semasa melalui sekat pintas Pos Nibong, di sini semalam.

Penahanan suspek berusia 33 tahun itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 11.30 pagi selepas dikesan memandu sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan tujuh tan bungkusan pakaian bundle yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barangan tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar selepas kesemua pakaian tersebut diseludup dari Thailand sebelum ia dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM350,000 dan ia diserahkan kepada kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor di sini untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top