am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan gali pasir secara haram selepas merampas pelbagai peralatan termasuk lori dan rumah penyedut pasir bernilai RM2 juta, di kawasan sungai di Kampung Pahi, di sini, petang kelmarin.
Rampasan dilakukan Batalion 8 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu jam 4.15 petang menerusi OP Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata hasil pemeriksaan mendapati kegiatan menyedut pasir itu dilakukan tiga lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh.
Katanya, kesemua mereka ditahan kerana gagal menunjukkan permit atau dokumen pemindahan pasir yang sah.
“Kita menahan dan merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti rumah penyedut pasir, excavator (jentera pengorek), lori dan peralatan lain yang digunakan untuk memindahkan pasir.
“Anggaran nilai rampasan sebanyak RM2 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pemindahan pasir haram daripada terus berleluasa di dalam negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd