KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidaj perlu menjadi lebih pro Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan kaum itu kerana ia bukan wajah sebenar parti gabungan berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, PH perlu menumpukan semua kaum, Melayu dan bukan Melayu, bumiputera dan bukan bumiputera bukan sahaja di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, PH mesti jadi gabungan parti yang inklusif bukan eksklusif dan ini adalah kelebihan PH yang merangkum kesemua rakyat Muslim atau bukan Muslim; Melayu atau bukan Melayu; bumiputera atau bukan bumiputera di seluruh negara, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Daripada usaha yang akan gagal untuk menjadi pro-Melayu lebih bermakna PH menumpu kepada pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu, adil dan demokratik.
“PH jangan bersikap opportunis politik. Itu bukan wajah PH. PH adalah parti reform yang menjanjikan harapan.
“Bolehkah PH memberi harapan jika PH hanya menumpu untuk pro-Melayu?,” soalnya dalam hantaran di Facebooknya.
Lagipun, tambah beliau, PH perlu sedar dan realistik, sekuat mana PH nak jadi lebih Melayu, ia akan gagal untuk mengatasi Pas, UMNO dan Bersatu yang semula jadi adalah parti Melayu.
Sebaliknya, PH perlu melaksanakan dengan adil, telus segala perkara agenda tindakan afirmatif untuk membantu Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 153 Perlembagaan.
Dalam masa yang sama, golongan rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera yang miskin, mundur, ketinggalan dan terabai selama ini mestilah sama-sama dibela.
“Jika PH yang sekarang berada dalam Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan agenda affirmative action untuk semua rakyat yang lemah, mundur dan miskin maka PH dilihat gabungan parti politik yang adil, bertanggungjawab kerana menganbil pendekatan politik jalur tengah yang tidak perkauman.
PH di Malaysia sekarang perlu fokus memperkuatkan asas sokongannya dengan dasar-dasar dan perlaksanaan sistem ekonomi yang menjanjikan agihan yang adil, dengan perlaksanaan gaji yang wajar di landasan yang betul ke arah tercapainya cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi.
Hassan berkata, PH mesti menumpukan agenda ekonomi yang menjamin kos sara hidup yang wajar dan tidak membebankan rakyat.
Jelasnya, kerajaan PH perlu bersungguh-sungguh menguruskan kerajaan dengan tatakelola yang baik, menentang korupsi, mengurangkan dan menghapuskan ketirisan dalam belanjawan negara, selesaian masalah perumahan rakyat dan meningkatkan pencapaian sistem pendidikan negara.
Jika semua ini dapat dicapai, percayalah semua kaum sama ada Melayu atau bukan Melayu; pengundi atas pagar; rakyat kelas B40, M40 dan T20 akan menyokong PH yang mengambil jalan tengah yang pragmatik dan realistik
Hassan mengingatkan PH jangan buang masa seperti Parti Demokratik di Amerika Syarikat yang gagal dalam usaha cuba memikat penyokong Parti Republikan. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL