PH umum calon PRK Sungai Bakap minggu depan

PH umum calon PRK Sungai Bakap minggu depan


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada minggu hadapan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan memilih tarikh yang sesuai untuk membuat pengumuman itu.

Beliau yang juga Presiden PKR turut membayangkan calon adalah daripada parti itu pada PRK tersebut.

“Dalam senarai, ramai calon yang layak dan kita umum pada minggu depan.

“Tarikh saya minta timbalan presiden (PKR), Rafizi umum tarikh yang sesuai minggu depan tetapi selalu proses kita bincang dengan pimpinan PH, BN (Barisan Nasional) dan maklum dalam Kerajaan Perpaduan.

“(Calon) PH, PKR setakat ini dicadangkan begitu tapu kita muktamad dalam mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini hari ini.

Sebelum ini, pimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang sebulat suara memutuskan PKR kekal bertanding dalam PRK DUN Sungai Bakap.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Gabungan Perpaduan Pulau Pinang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor PKR bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu selain pernah menyandang DUN Sungai Bakap selama tiga penggal sebelum ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Pemangku Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata, proses penamaan calon akan berlangsung pada 22 Jun manakala undi awal pula pada 2 Julai ini.

Pada 27 Mei lepas, SPR mengesahkan menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

Ia susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan dipastikan oleh SPR.

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam mewakili suara penduduk Sungai Bakap selepas menang pada PRN lalu.

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top