Voiron: Pelumba Belgium, Jasper Philipsen mempamerkan kayuhan cemerlang untuk memenangi peringkat ke-17 Tour de France selepas menguasai pecutan kelompok kecil pada penghujung laluan Alpine, hari ini.
Philipsen mendapat bantuan daripada bekas juara dunia, Mathieu van der Poel yang menjadi pelumba pendahulu sebelum dia melintasi garisan penamat dengan mengatasi Mauro Schmid dan Olav Kooij.
Kedua-dua pencabar itu sebelum ini turut sudah meraih kemenangan peringkat dalam saingan Tour de France musim ini.
Kejayaan itu adalah kemenangan peringkat ke-11 Tour de France buat Philipsen yang berusia 28 tahun, selepas pernah muncul juara jersi hijau kategori mata pecut pada edisi 2023.
Sebelum ini, dia hampir meraih kemenangan dalam beberapa peringkat pecut apabila menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik sebanyak lima kali.
Kemenangan itu turut menghadiahkannya 50 mata, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya tujuh mata di belakang pendahulu kategori jersi hijau, Mads Pedersen dari Denmark.
Sementara itu, pendahulu keseluruhan dan juara bertahan, Tadej Pogacar menamatkan perlumbaan dengan selamat bersama kelompok utama, kira-kira sembilan minit di belakang Philipsen.
Bagaimanapun, Pogacar menerima sedikit tamparan apabila rakan sepasukannya dari UAE Emirates-XRG, Adam Yates yang menjadi tonggak utama di laluan pendakian, bergelut sepanjang perlumbaan selepas mengalami masalah perut sejak malam sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






