Tonggak Johor, Sae Faalupega cuba melepasi halangan pemain Selangor dalam aksi suku akhir Piala Agong di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin pada Sabtu. FOTO: KESATUAN RAGBI NEGERI JOHOR
PENGENDALI Johor, Rodney So’oialo menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang anak buahnya selepas menundukkan Selangor 48-15 pada aksi suku akhir Piala Agong 2025 di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, pada Sabtu.
Bekas bintang New Zealand All Blacks itu berkata, kemenangan berkenaan membuktikan karakter sebenar pasukannya yang kekal fokus walaupun berdepan beberapa kecederaan utama.
“Saya sangat bangga dengan pemain. Mereka menempuh cabaran kecederaan, tetapi tetap memberikan komitmen penuh sehingga tamat perlawanan.
“Selangor juga bermain baik, terutama pada penghujung permainan, namun saya gembira dengan cara pemain kami bertahan dan mengekalkan momentum,” katanya.
Johor yang juga naib juara musim lalu, menampilkan aksi kemas pada separuh masa pertama dengan penguasaan bola yang lebih baik dan penyudah tajam di zon serangan.
Menurut So’oialo, walaupun Selangor bangkit memberikan tentangan pada babak kedua, disiplin pertahanan dan kecergasan pemain menjadi faktor utama kemenangan selesa itu.
“Saya berpuas hati dengan persembahan keseluruhan, terutama di separuh masa pertama. Kredit juga kepada Selangor kerana memberi saingan sengit.
“Namun, pemain kami kekal fokus dan menyempurnakan peluang,” jelasnya yang juga bekas pengendali skuad Bunga Raya 15 Sebelah (15’s) negara.
Mengulas kecederaan beberapa tonggak utama, So’oialo berkata, pihak pengurusan akan memantau perkembangan pemain terbabit sebelum aksi separuh akhir menentang Perlis.
“Kami sedang menilai tahap kecederaan pemain. Pasukan perubatan bekerja keras memastikan mereka pulih segera. Berdasarkan keadaan semasa, saya yakin mereka bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Johor dijadual berdepan Perlis yang menewaskan ATM 49-3 dalam satu lagi aksi suku akhir, manakala satu lagi pertembungan separuh akhir menemukan penyandang juara PDRM dengan Kelantan.
“Kami akan tumpu kepada permainan sendiri dan melakukan sedikit kerja rumah mengenai Perlis. Mereka pasukan hebat, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” tambah So’oialo.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Johor, Rodney So’oialo bangga semangat juang anak buahnya menundukkan Selangor 48-15
- Kemenangan menzahirkan karakter pasukan yang kekal fokus walaupun berdepan kecederaan
- Pemain Johor bertahan dengan baik walaupun Selangor meningkatkan permainan pada penghujung
- Disiplin pertahanan dan kecergasan pemain Johor menjadi faktor utama kemenangan mereka
- Pengurusan Johor akan memantau perkembangan kecederaan pemain sebelum perlawanan separuh akhir menentang Perlis