SAINGAN ragbi paling berprestij tanah air, Piala Agong Edisi Ke-41 membuka tirai Sabtu ini dengan empat perlawanan awal yang dijangka sengit mempertemukan pasukan tradisi dan pencabar baharu.
Di Kumpulan A, tumpuan terarah ke Mergong apabila Kedah menentang Selangor di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman pada jam 3 petang.
Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah kejuaraan tersendiri, dengan Kedah pernah menjulang trofi pada 2008, manakala Selangor enam kali bergelar juara, kali terakhir pada 2006. Pertembungan ini bakal menjadi medan pengukur awal kekuatan masing-masing.
Pada masa sama, Kelantan yang masih segar berstatus juara Kejohanan Tujuh Sebelah (7s) Kebangsaan akan menguji Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.
Kelantan yang pernah muncul juara empat kali (2005, 2010–2012) turun dengan reputasi sebagai pasukan berpengalaman, manakala Perlis mahu membuktikan kemampuan mereka sebagai wakil utara tanah air.
Saingan Kumpulan B pula menyaksikan naib juara Kejohanan 7s Kebangsaan, Johor berdepan Pahang di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.
Johor yang pernah bergelar juara pada 2013 dan 2017 sudah pasti mengintai kebangkitan, sementara Pahang dilihat sebagai pencabar senyap yang mampu menghadirkan kejutan.
Dalam satu lagi aksi, Terengganu akan melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus. Terengganu, juara edisi 2019, berpeluang memanfaatkan sokongan penyokong sendiri untuk meraih kemenangan pembuka.
Sejak diperkenalkan pada 1983, Piala Agong banyak menyaksikan dominasi kuasa lama, terutama ATM dengan 11 kejuaraan, selain Selangor (6), PDRM (5), Sabah (5) dan Kelantan (4).
Kini, PDRM yang muncul juara dua edisi berturut-turut (2023, 2024) memburu gelaran hatrik, manakala pasukan lain bertekad menamatkan penguasaan tersebut.
Edisi kali ini dijangka terus mempertemukan kuasa tradisi seperti ATM, Selangor dan Kelantan dengan pencabar baharu seperti Terengganu, Johor dan Kedah.