Vietnam melangkah ke final Piala ASEAN 2024 dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Wilayah Phu Tho malam ini. – Foto: AFF
JUARA dua kali Vietnam melangkah ke final Piala ASEAN 2024 dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Wilayah Phu Tho malam ini.
Rafaelson Fernandes muncul wira Vietnam apabila meledak jaringan berganda untuk membantu pasukan Golden Star Warriors mara ke pentas akhir kejohanan berprestij itu.
Dalam perlawanan dramatik malam ini, kedua-dua pasukan memulakan aksi seimbang sebelum Singapura hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila Muhammad Faris Ramli menanduk cantik bola ke dalam gawang tuan rumah.
Jaringan berkenaan bagaimanapun dinafikan selepas pengadil memeriksa Video Pembantu Pengadil (VAR) mendapati Muhammad Shawal Anuar berada di kedudukan ofsaid sekali gus mengecewakan anak buah ketua jurulatih Tsutomu Ogura itu.
Skuad Vietnam kendalian Kim Sang Sik kemudian hampir mendahului apabila pemain pertahanan Ngoc Quang Chau menanduk cantik bola ke dalam gawang pada minit ke-21 namun jaringan itu juga tidak dikira kerana beliau menolak Nur Muhammad Shah Shahiran.
Pasukan tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya menghasilkan jaringan pada minit kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain kacukan Vietnam-Brazil Rafaelson selepas dijatuhkan Lionel Tan dalam kotak penalti.
Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah terus menjarakkan kedudukan apabila Rafaelson sekali lagi menterjemah jaringan keduanya selepas menerima hantaran Hoang Ngunyen pada minit ke-63.
Singapura kemudian berhasil merapatkan kedudukan hasil penyudah Kyoga Nakamura pada minit ke-74 namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Vietnam menambah satu lagi jaringan menerusi sepakan penalti oleh Nguyen Tien Linh pada minit kecederaan babak kedua.
Keputusan kekal Vietnam 3-1 Singapura sehingga wisel penamat.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar di Singapura Selasa lepas, Vietnam menundukkan Singapura menerusi jaringan Nguyen Tien dan Nguyen Xuan Son masing-masing pada masa kecederaan separuh masa kedua. – Bernama