Piala ASEAN: Harimau Malaya mungkin turunkan ‘skuad kedua’

Piala ASEAN: Harimau Malaya mungkin turunkan ‘skuad kedua’


Laporan Sukan Sinar pada Sabtu.

MALAYSIA mungkin menurunkan ‘skuad kedua’ tanpa pemain utama untuk bersaing dalam kejohanan Piala ASEAN 2024 bulan depan.

Bayangan itu terjelma menerusi penarikan balik tiga tonggak skuad Harimau Malaya oleh kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) dari menyertai pasukan ke Hyderabad menentang India pada Isnin.

Tiga pemain itu ialah Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharuddin.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun masih mengunci mulut mengenai status para pemain yang bakal menggalas cabaran negara di pentas ASEAN itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dan ia akan diputuskan pada minggu depan.

Malah kata beliau, penarikan tiga pemain itu dibuat setelah mendapat persetujuan Pau Marti yang sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri.

Tambah beliau, aksi menentang Laos, Khamis lalu dan India pada Isnin adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara ke Piala ASEAN.

“Ia adalah keputusan jurulatih sama ada nak bawa 23 atau 26 pemain ke Hyderabad. Lazimnya kita akan bawa 23 pemain.

“Tiada isu sebenarnya (penarikan balik tiga pemain) dan tiada kaitan dengan aksi Piala Malaysia.

“Mungkin (bayangan skuad Harimau Malaya tanpa pemain utama pada Piala ASEAN). Apapun tunggu keputusan jurulatih,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis pelancaran produk minuman jenama Pablo Dollah Kopi di Subang pada Sabtu.

Produk tersebut adalah milik legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh.

Bagaimanapun Noor Azman melihat perkembangan tersebut sebagai positif apabila tanpa kelibat tonggak Harimau Malaya mampu memberi peluang kepada pemain lain untuk beraksi.

“Mungkin pemain lain boleh menyerlah. Ini peluang buat mereka,” katanya.

FAM pada Sabtu melaporkan kepulangan tiga pemain itu ke tanah air sebagai persiapan JDT mengharungi saingan Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers pada 20 November.

Sebagai rekod, aksi persahabatan yang berlangsung ketika ini adalah dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Piala ASEAN di luar musim badan induk tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top