Piala ASEAN: Malaysia, Singapura buntu separuh masa pertama

Piala ASEAN: Malaysia, Singapura buntu separuh masa pertama


Malaysia perlu meraih kemenangan ke atas Singapura untuk mara ke separuh akhir. Foto FAM

MALAYSIA dan Singapura terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Malaysia yang bermain dengan formasi 4-3-2-1 meletakkan penyerang tunggal, Muhammad Haqimi Azim Rosli berjaya menguasai perlawanan pada 45 minit pertama, namun gagal merobek gawang Singapura.

Percubaan pertama skuad negara hadir melalui rembatan luar kotak penalti Endrick Dos Santos yang terus ke dakapan penjaga gol Singapura pada minit keenam.

Stuart Wilkin berpeluang memecahkan kebuntuan gol, namun percubaan lencongnya pada minit ke-28 tersasar.

Harimau Malaya perlu mencari kemenangan ke atas Singapura dalam usaha mereka untuk mara ke separuh akhir.

Kedudukan dalam Kumpulan A tersebut menyaksikan Thailand sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dan kedudukan untuk pasukan kedua terbaik akan diisi antara Malaysia, Singapura atau Kemboja.

Kemboja yang berdepan Thailand dalam satu lagi perlawanan yang masih lagi berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok terikat 1-1.



Source link

OR

Scroll to Top