Piala Asia: Double iringi kuadran ke pentas final

Piala Asia: Double iringi kuadran ke pentas final


Skuad double negara akan menentang Thailand dalam aksi final Piala Asia di Stadium Titiwangsa malam ini. Foto FB PSM.

SKUAD double negara menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 sebentar tadi.

Kemaraan tersebut adalah hasil kemenangan ke atas India 2-0 dalam saingan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Kejayaan itu turut memastikan skuad double mengiringi skuad kuadran negara yang terlebih dahulu meraih slot ke pentas final malam ini.

Pasangan double kebangsaan yang menampilkan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menang set pertama dengan keputusan 15-12.

Para penonton kemudian disajikan dengan aksi mendebarkan apabila India yang mempertaruhkan Yumnam Akash dan Sorokhaibam Singh memberikan tentangan sengit kepada pemain negara dalam permainan kedua.

Namun, pengalaman dan strategi ampuh yang diperagakan oleh pemain negara mengesahkan kemaraan ke pentas final menerusi kemenangan 15-12.

Dalam aksi akhir nanti, Malaysia bakal berdepan cabaran getir daripada Thailand yang menumpaskan Indonesia 2-0 (17-16, 17-15) dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.

Terdahulu, skuad kuadran negara mara ke final selepas mengatasi Korea Selatan 2-0 (15-13, 15-8) dalam perlawanan separuh akhir.

Malaysia akan menentang Jepun yang mengejutkan naib juara Piala Dunia Sepak Takraw di Bihar, Vietnam, dengan kemenangan 15-12, 15-11 dalam satu lagi aksi separuh akhir.



Source link

OR

Scroll to Top