Piala Asia: Khairul Aman sedih terpaksa tarik diri

Piala Asia: Khairul Aman sedih terpaksa tarik diri


Khairul Aman terpaksa menarik diri daripada Piala Asia akibat masalah kesihatan. Foto FB PSM. Gambar kecil: Mohd Sumali (gambar kecil) bertanya khabar Khairul Aman menerusi panggilan video pada Sabtu. Foto FB Mohd Sumali Reduan.

PEREJAM muda negara, Khairul Aman Rosdi meluahkan rasa hiba kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan yang ketika ini berjuang dalam acara regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 susulan masalah kesihatan.

Perkembangan tersebut dikongsi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang memberitahu pemain berusia 22 tahun itu juga terpaksa menjalani pembedahan kecil.

“Sebentar tadi saya sempat bercakap dengan Khairul Aman selepas dia menjalani pembedahan kecil. Dia masih di hospital dan tidak dapat bermain untuk perlawanan seterusnya.

“Dia sangat sedih kerana tidak dapat bersama-sama rakan sepasukan untuk terus berjuang di Stadium Titiwangsa. Saya minta semua pihak mendoakan agar dia cepat sembuh,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Sabtu.

Pemain yang berasal dari Terengganu itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan ketika perlawanan menentang Jepun pada Jumaat dan dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian.

Khairul Aman pada awalnya disenaraikan dalam regu kedua negara bagi perlawanan tersebut, namun tidak dapat diturunkan akibat kecederaan berkenaan.

Apit kanan itu sepatutnya beraksi bersama Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Farhan Adam (apit kiri), namun tidak sempat beraksi apabila dikeluarkan sebelum perlawanan bermula dan digantikan dengan Noraizat Nordin.



Source link

OR

Scroll to Top