Piala Asia: Malaysia mara ke final berdepan Thailand

Piala Asia: Malaysia mara ke final berdepan Thailand


Azlan (dua dari kanan) melakukan libasan ketika aksi separuh akhir acara regu menentang Vietnam di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

SKUAD sepak takraw negara bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand dalam aksi final acara regu Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa malam ini.

Malaysia menepati ramalan mara ke pentas akhir selepas menundukkan Vietnam 2-0 dalam saingan separuh akhir sebentar tadi.

Pasukan negara yang dibarisi trio Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) bermula garang untuk menang set pertama 15-8.

Vietnam yang membariskan Ngo Thanh Long selaku tekong, Voung Minh Chau (apit kiri) dan Huynh Ngoc Sang (apit kanan) cuba bangkit pada permainan kedua.

Trio kebangsaan menerusi sorakan padu peminat, bagaimanapun, lebih bersedia untuk menafikan kebangkitan apabila mengesahkan kemenangan 15-10.

Sebahagian penonton yang menjadi pembakar semangat para pemain negara.Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sebahagian penonton yang menjadi pembakar semangat para pemain negara.Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menempah saingan ke pentas akhir menentang skuad Gajah Perang yang menumpaskan India (15-9, 15-5) dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Terdahulu pada malam Rabu, Malaysia yang dibimbing Ahmad Mohd Zin menewaskan Brunei 2-0 dalam pertembungan suku akhir.

Sebagai rekod, pasukan kebangsaan muncul juara selepas mengalahkan Nepal, Singapura dan Filipina dalam saingan peringkat Kumpulan D.

Malaysia dan Thailand masing-masing sudah meraih satu gelaran menerusi kejuaraan dalam acara kuadran yang menjadi milik negara, manakala acara double berpihak kepada skuad Gajah Perang itu.



Source link

OR

Scroll to Top