Piala Asia: Malaysia mara ke separuh akhir regu berpasukan

Piala Asia: Malaysia mara ke separuh akhir regu berpasukan


Malaysia muncul juara Kumpulan B dalam acara regu berpasukan Piala Asia di Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Facebook PSM

SKUAD sepak takraw negara mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan B acara regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Kejayaan tersebut diraih hasil kemenangan bersih tiga regu negara ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Trio Malaysia yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam bertindak sebagai tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menyumbang mata pertama buat negara.

Biarpun ditentang sengit Cheon Dong-ryung selaku tekong, Seon Woo Young-su (perejam) dan Oh Dae-yang (pengumpan), namun diiringi sorakan padu penyokong membakar semangat trio negara untuk menang 15-6, 15-9.

Gandingan Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias sebagai apit kanan dan Amirul Zazwan Amir selaku apit kiri yang turun sebagai regu kedua juga tidak kurang hebatnya.

Mereka mudah membenam cabaran regu lawan yang dibarisi Seo Seung-beom bertindak sebagai tekong, Lee Junuk (apit kanan) dan Kim Young-cheol (apit kiri) 15-6, 15-11.

Trio Muhammad Zulkifli Abd Razak sebagai tekong, Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) kemudian mengesahkan kemenangan 3-0 buat Malaysia.

Nam Sang-hun selaku tekong, Shin Hee-seop (perejam) dan Kin Jung-man (pengumpan) menjadi mangsa trio negara yang menang 15-8, 15-7.

Malaysia membuka saingan peringkat kumpulan dengan keputusan positif apabila menewaskan Brunei 3-0 dan menundukkan Jepun juga dengan keputusan sama pada Jumaat.

Lawan skuad negara dalam aksi final pada Ahad bakal diketahui malam ini apabila dua lagi perlawanan Kumpulan A berlangsung pada jam 8 malam.

Dua pasukan yang menghuni dua tempat teratas kumpulan, Thailand dijadualkan menentang India, manakala China pula akan berdepan Singapura.

Andai Thailand menang, skuad Gajah Perang itu akan muncul juara kumpulan, manakala India di tempat kedua, sekali gus akan berdepan Malaysia di pentas akhir.

Saingan separuh akhir dijadual bermula jam 10 pagi, manakala perlawanan akhir pula pada jam 4 petang Ahad.



Source link

OR

Scroll to Top