Skuad hoki wanita negara bangkit selepas tewas kepada China dengan membelasah Taiwan 11-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Asia 2025 di China. Foto Malaysian Hockey Confederation
SKUAD hoki wanita negara bangkit bergaya selepas kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Asia 2025 apabila membelasah Taiwan 11-1 di Gongshu, China pada Ahad.
Malaysian Tigress bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang tewas 0-8 kepada China sebelum ini tampil garang sejak minit awal permainan, sekali gus mempamerkan karakter sebenar dengan serangan bertali arus yang mematikan rentak lawan.
Gol pertama hadir seawal minit kedua menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli menggandakan kelebihan seminit kemudian.
Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menambah jaringan hasil pukulan sudut penalti pada minit kelapan, manakala Hanis Nadiah Onn menutup suku pertama dengan gol padang minit ke-14.
Rentak bertenaga itu berterusan apabila Nuramirah menambah gol kedua peribadi pada minit ke-16 diikuti Fatin Shafika Mahd Sukri melalui pukulan sudut penalti minit ke-21.
Nur Afiqah sekali lagi meledak gol ketujuh negara dua minit kemudian sebelum Khairunnisa menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-32.
Siti Nur Arfah Mohd Nor turut mencatat nama selaku penjaring dengan dua gol pada minit ke-36 dan ke-56, manakala Taiwan memperoleh gol sagu hati pada minit ke-59 melalui pukulan strok penalti Huang Yu-Ting.
Namun, Nur Afiqah memastikan kemenangan besar milik Malaysia dengan melengkapkan hatrik peribadi pada minit ke-60.
“Alhamdulillah kita dapat menang hari ini, satu keputusan yang bagus untuk dibawa ke perlawanan seterusnya. Saya pasti kemenangan besar ini akan memberi semangat tambahan kepada pemain menjelang aksi terakhir Kumpulan A menentang Korea Selatan,” kata Nasihin.
Kemenangan itu bukan sahaja menyuntik keyakinan selepas kekalahan kepada China, malah menghidupkan semula peluang Tigress untuk terus memberi saingan dalam kempen peringkat kumpulan.