Piala Asia: Speedy Tigers baham Bangladesh

Piala Asia: Speedy Tigers baham Bangladesh


Malaysia mulakan kempen Piala Asia langkah kanan dengan menewaskan Bangladesh pada Jumaat. Foto Malaysian Hockey Confederation

SKUAD hoki lelaki negara membuka langkah kanan dalam kempen Kumpulan B Piala Asia 2025 apabila menewaskan Bangladesh 4-1 di Rajgir, India, pada Jumaat.

Anak buah Sarjit Singh bagaimanapun dikejutkan seketika apabila Bangladesh terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-16 menerusi pukulan sudut penalti Ashraful Islam.

Namun, Malaysia segera bangkit dengan jaringan penyamaan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-25 sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah gol kedua pada minit ke-36.

Dominasi penuh Speedy Tigers selepas itu diteruskan apabila Muhajir Abdu Rauf menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan turut mencatat nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 untuk melengkapkan kemenangan bergaya 4-1.

Speedy Tigers diundi bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Taiwan dengan hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.

Malaysia bakal berdepan cabaran lebih getir menentang Korea Selatan hari ini sebelum menutup aksi kumpulan menentang Taiwan pada Isnin.

Sebagai rekod, Korea Selatan muncul juara edisi 2022 di Jakarta selepas menewaskan Malaysia dalam perlawanan akhir.



Source link

OR

Scroll to Top