Aksi perlawanan akhir acara beregu antara Malaysia menentang Thailand pada Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa pada Isnin. Malaysia tewas 1-2 kepada Thailand. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
IMPIAN double negara untuk muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa tidak kesampaian.
Duo negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi terpaksa akur tewas 1-2 kepada gandingan Thailand dalam aksi final yang mendebarkan, sebentar tadi.
Malaysia bermula garang apabila memimpin saingan set pertama 8-4 ke atas skuad Gajah Perang yang menurunkan Boonkoom Tipwong dan Sirisak Anuloon.
Namun, pasukan lawan kemudian melakukan pertukaran dengan memasukkan Tanaphon Sapyen bagi menggantikan Boonkoom.
Biarpun perubahan itu pada awalnya memberi kesan positif kepada Thailand, Noraizat dan Aidil kekal tenang mengawal permainan sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-7.

Malaysia sekali lagi gagal melunaskan dendam kekalahan kepada skuad Gajah Perang. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Memasuki set kedua, pasangan negara bermula cemerlang dengan mendahului 4-0. Namun, akibat beberapa kesilapan dan hilang fokus, mereka dihukum apabila tewas 10-15, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Pada set ketiga, Noraizat dan Aidil cuba bangkit, namun gagal menyaingi aksi bertenaga Tanaphon dan Sirisak yang akhirnya mengesahkan kemenangan 15-12 untuk Thailand.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal melunaskan dendam kekalahan kepada skuad Gajah Perang selepas tewas 0-2 dalam aksi peringkat kumpulan pada Sabtu lalu.