Piala Dunia 2026: Media Brazil 'bedil' Ancelotti selepas aksi hambar lawan Maghribi

Piala Dunia 2026: Media Brazil 'bedil' Ancelotti selepas aksi hambar lawan Maghribi


New York: Baru 90 minit kempen Piala Dunia 2026 bermula, Carlo Ancelotti sudah mula menerima tekanan hebat apabila media Brazil mengkritik persembahan hambar Selecao selepas seri 1-1 dengan Maghribi di New Jersey.

Walaupun Vinicius Junior muncul penyelamat menerusi gol penyamaan, ia gagal menutup kelemahan ketara yang dipamerkan Brazil, khususnya pada separuh masa pertama yang disifatkan ramai pemerhati sebagai antara persembahan paling mengecewakan pasukan itu di pentas Piala Dunia.

Antara pemain yang menjadi sasaran kritikan ialah Roger Ibanez, Lucas Paqueta, Igor Thiago dan Casemiro, manakala Ancelotti turut dipersoalkan susulan pemilihan kesebelasan utama serta pendekatan taktikal yang digunakan.

Kolumnis UOL, Paulo Vinicius Coelho melancarkan kritikan pedas terhadap Casemiro.

“Dia bergerak selaju sebuah trak lama yang sedang mendaki jalan sempit di pergunungan Pyrenees,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan Ancelotti menurunkan Igor Thiago berbanding Matheus Cunha yang dilihat berjaya menghidupkan jentera serangan selepas dimasukkan pada babak kedua.

Kolumnis O Estado de Sao Paulo, Mauro Beting turut menyuarakan pandangan sama.

“Kami lebih bergantung kepada nasib daripada kebijaksanaan, sebahagian besarnya disebabkan pilihan kurang tepat Ancelotti,” katanya.

Hos BandNews Radio, Fabio Franca pula menyifatkan aksi separuh masa pertama Brazil sebagai sesuatu yang sukar diterima.

“Ia adalah 45 minit terburuk Brazil di Piala Dunia sejak dibelasah Jerman 7-1 pada separuh akhir 2014,” katanya.

Kolumnis O Globo, Carlos Eduardo Mansur berpandangan Brazil kelihatan seperti pasukan yang tidak bersedia.

“Brazil kelihatan seperti sebuah pasukan yang tidak membuat persiapan secukupnya dan melalui tempoh yang bercelaru. Pertahanan mereka lemah dan mudah ditewaskan,” katanya.

Bekas pemain tengah Brazil yang kini menjadi pengulas SporTV, Felipe Melo turut mempertahankan reputasi Ancelotti, namun menegaskan jurulatih Itali itu perlu mengakui kesilapan.

“Ancelotti adalah antara jurulatih terbaik dalam sejarah, tetapi dia tidak boleh membiarkan kesilapan berlalu begitu saja. Dia memilih kesebelasan utama yang salah. Ibanez tidak sepatutnya berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Menurut Melo, Fabinho yang dimasukkan menggantikan Casemiro pada separuh masa berjaya menguasai bahagian tengah.

“Fabinho benar benar mendominasi bahagian tengah,” katanya.

Pengulas ESPN, Ubiratan Leal pula mengimbas kebangkitan Argentina pada Piala Dunia 2022 selepas tewas mengejut kepada Arab Saudi sebelum bangkit menjulang trofi.

“Ancelotti perlu mengikut contoh Lionel Scaloni. Dalam Piala Dunia, anda perlu bertindak pantas,” katanya.

Brazil yang memburu gelaran dunia keenam selepas 24 tahun menanti akan berdepan Haiti pada Jumaat sebelum menamatkan aksi Kumpulan C bertemu Scotland pada 24 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top