Piala Dunia 2026: Vozinha wira Cape Verde ikat Sepanyol 0-0 di Atlanta

Piala Dunia 2026: Vozinha wira Cape Verde ikat Sepanyol 0-0 di Atlanta


Atlanta: Cape Verde mencipta kejutan besar pada aksi pembukaan Kumpulan H apabila menafikan kemenangan Sepanyol selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang menyaksikan dominasi penuh pasukan pilihan itu di Atlanta.

Sepanyol yang menguasai hampir 75 peratus permainan serta mencatat 27 percubaan ke arah gol tetap gagal menembusi benteng pertahanan kental Cape Verde, sekali gus menyaksikan pasukan ranking kedua dunia itu dipaksa berkongsi mata dengan pasukan ranking 67 dunia.

Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, menjadi watak utama perlawanan apabila melakukan beberapa siri penyelamatan penting sebelum dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, sekali gus mengheret pasukannya mencipta detik bersejarah dalam penampilan sulung Piala Dunia.

Perlawanan turut menyaksikan Sepanyol memasukkan Lamine Yamal pada separuh masa kedua, namun kehadiran pemain muda itu gagal mengubah nasib pasukan yang jelas bergelut menembusi benteng rendah dan berdisiplin Cape Verde.

Kapten Sepanyol, Rodri mengakui kekecewaan terhadap kegagalan pasukannya menamatkan peluang yang terhidang.

“Memang sukar menentang pasukan yang sangat defensif dan fizikal seperti ini. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang memerlukan kesabaran.

“Kami mencipta peluang, tetapi tidak berjaya menjaringkan gol. Perkara positifnya mereka hampir tidak mencipta peluang berbahaya, tetapi kami perlu memperbaiki ketajaman penyudah,” kata Rodri.

Sementara itu, pemain tengah Cape Verde, Laros Duarte menyifatkan disiplin bertahan menjadi kunci kejayaan mereka mencuri satu mata berharga.

“Fokus kami hari ini adalah bertahan, tetapi kami boleh menunjukkan dalam perlawanan seterusnya betapa bagusnya kami dengan bola.

“Kami ada perasaan yang baik untuk perlawanan akan datang kerana kami tahu kemampuan kami. Realistik untuk mula fikir tentang peluang ke pusingan seterusnya dan kami yakin dengan keadaan ini,” katanya.

Keputusan itu dianggap antara kejutan terbesar kejohanan setakat ini apabila Sepanyol yang berada di ranking kedua dunia gagal memecahkan pertahanan pasukan ranking 67 dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top