KEJOHANAN Piala Dunia yang akan berlangsung pada Jun depan didakwa bakal menjadi ‘sportswashing’ atau medan pembersihan imej melalui sukan oleh Donald Trump bagi menutup pelbagai isu pencabulan hak asasi manusia.
Amaran tersebut disuarakan oleh pertubuhan hak asasi antarabangsa termasuk Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International di bawah Sport and Rights Alliance (SRA).
Mereka mendakwa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kini menggunakan sukan sebagai alat politik untuk mengalih perhatian dunia daripada dasar-dasar kontroversi yang diamalkan negara itu.
Pengarah Inisiatif Global HRW, Minky Worden berkata, istilah ‘sportswashing’ yang sebelum ini sering dikaitkan dengan rejim autokratik kini wajar terpakai kepada pentadbiran AS yang menjadi penganjur bersama kejohanan itu bersama Mexico dan Kanada.
“Piala Dunia ini sepatutnya menjadi kejohanan pertama yang mempunyai kerangka hak asasi manusia yang jelas merangkumi perlindungan pekerja, peminat, pemain dan komuniti.
“Sebaliknya, tindakan keras imigresen, dasar diskriminasi dan ancaman terhadap kebebasan media oleh pentadbiran AS menyebabkan kejohanan ini berisiko dicemari dengan sentimen ketakutan dan penyisihan,” katanya.
Worden turut menekankan kebimbangan mengenai tindakan Trump yang dilihat cuba ‘mensenjatakan’ sukan untuk memberikan gambaran kononnya AS adalah destinasi yang selamat dan menyeronokkan, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.
Berdasarkan laporan HRW, daripada 16 bandar tuan rumah, hanya empat bandar iaitu Atlanta, Dallas, Houston dan Vancouver yang telah menerbitkan ‘Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Bandar Tuan Rumah’ yang diwajibkan.
Selain itu, sekatan perjalanan terhadap beberapa buah negara termasuk empat negara yang layak ke Piala Dunia turut mencetuskan kebimbangan besar mengenai inklusiviti kejohanan tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Dasar Penyokong Bola Sepak Eropah, Martin Endemann mendedahkan pihaknya tidak mempunyai gambaran berhubung tahap keselamatan peminat bola sepak di AS apabila kejohanan itu berlangsung.
“Peminat tidak tahu apa yang akan berlaku. Kami tidak mempunyai gambaran jelas bagaimana polis AS akan bertindak jika berlaku protes di dalam atau di luar stadium, malah bagaimana mereka mengendalikan salah laku kecil oleh peminat.
“Sejujurnya, akan sentiasa ada peminat yang melakukan perkara bodoh, tetapi apakah tindak balas pihak polis AS nanti?” soalnya.
Isu keselamatan penyokong turut menjadi agenda utama dalam Kongres Tahunan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Vancouver.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Norway, Lise Klaveness antara yang lantang menuntut jaminan daripada FIFA agar penyokong tidak terdedah kepada risiko serbuan oleh ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS.
“Kami sangat bimbang dan mahu memastikan kejohanan ini inklusif serta selamat untuk semua tanpa mengira etnik, negara asal atau orientasi seksual.
“Kami mahu pimpinan FIFA menyatakan dengan jelas bagaimana mereka akan menghalang tindakan ICE bagi memastikan semua peminat boleh datang ke stadium dengan selamat,” ujarnya.






