PENGENDALI England, Thomas Tuchel, kini berdepan dilema getir menjelang kempen Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sulung apabila jadual perlawanan antarabangsa skuad The Three Lions bertembung dengan persiapan kelab-kelab gergasi Eropah.
Tumpuan kini terarah kepada keputusannya untuk melepaskan pemain-pemain utama lebih awal bagi memberi ruang persiapan yang secukupnya kepada kelab masing-masing yang bakal berentap di pentas trofi kelab dunia itu.
Skuad kendaliannya dijadualkan mengharungi dua perlawanan antarabangsa pada Jun – aksi kelayakan Piala Dunia menentang Andorra di Barcelona pada 7 Jun, diikuti perlawanan persahabatan menentang Senegal di Nottingham Forest tiga hari kemudian.
Perlawanan di City Ground pada 10 Jun itu hanya berlangsung empat hari sebelum kejohanan kelab dunia itu bermula di Amerika Syarikat.
Pemain-pemain dari Manchester City, Chelsea, Bayern Munich, Real Madrid dan Atletico Madrid – yang kesemuanya terlibat dalam edisi pertama Piala Dunia Kelab – berpotensi besar untuk dipilih menyertai skuad England bagi dua perlawanan antarabangsa tersebut.
Kelab-kelab yang terlibat dalam kejohanan FIFA itu amat berharap agar Persatuan Bola Sepak England (FA) melepaskan pemain mereka selepas perlawanan menentang Andorra.
Namun, difahamkan Tuchel cenderung untuk mengekalkan skuadnya bersama bagi perlawanan persahabatan menentang Senegal.
England FA dijadualkan mengadakan mesyuarat lanjut bagi mengesahkan pendirian mereka berhubung pemain-pemain yang terlibat dalam Piala Dunia Kelab.
Dalam pertemuan pertamanya dengan para pemain sejak dilantik sebagai pengganti Gareth Southgate, Tuchel memberitahu mereka bahawa tempoh persiapan bersama menjelang Piala Dunia adalah amat singkat.
Keputusan Tuchel dan England FA berhubung pelepasan pemain berpotensi memberi impak kepada seramai 12 pemain.
Kontinjen Chelsea seperti Cole Palmer, Reece James, Levi Colwill dan Noni Madueke berkemungkinan dipilih oleh Tuchel.
Begitu juga kapten England, Harry Kane (Bayern Munich), Jude Bellingham (Real Madrid) dan Conor Gallagher (Atletico Madrid).
Sekiranya semua pemain dikekalkan bersama skuad England, Chelsea berisiko menjadi kelab yang paling terjejas.
Pasukan-pasukan yang bertanding di Piala Dunia Kelab diwajibkan tiba di Amerika Syarikat selewat-lewatnya tiga hari sebelum perlawanan pembukaan masing-masing.
Dengan mengambil kira perkara itu, skuad kendalian Enzo Maresca berdepan potensi final Liga Konferensi Europa di Poland pada 28 Mei – tiga hari selepas hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris – sebelum menyertai tugas antarabangsa.
Perlawanan pertama Chelsea di Piala Dunia Kelab adalah menentang Leon pada 16 Jun – enam hari selepas pertembungan dengan Senegal.
Perlawanan pertama Manchester City dalam kejohanan itu adalah pada 18 Jun menentang Wydad AC.
Sementara itu, Bayern akan menentang Auckland City dan Atletico berdepan Paris Saint-Germain pada 15 Jun, manakala Real Madrid akan bertemu Al Hilal pada 18 Jun.
Ketika bercakap pada Mac lalu, Tuchel tegas berpendirian untuk tidak mengalah kepada permintaan pengendali kelab dengan berkata: “Saya menjaga pemain. Kami menjaga jadual. Tetapi ia akan menjadi isyarat yang salah untuk memberitahu pemain sekarang. Hei, anda mempunyai perlawanan (kelab) yang sukar akan datang jadi saya merehatkan anda sekarang.”
“Kami berada dalam pemantauan peringkat tinggi di mana status mereka diketahui dan kami tidak akan mengambil sebarang risiko yang tidak profesional. Kerana pertama sekali saya bertanggungjawab terhadap pemain. Saya tidak mahu pemain cedera.
“Saya mengalaminya berkali-kali di kelab bahawa pemain dari negara-negara Amerika Selatan bahkan tidak terfikir untuk tidak bermain satu minit pun kerana mereka ingin bermain untuk negara mereka. Mereka bangga bermain untuk negara mereka. Ini juga sesuatu yang perlu kita fahami dan terima.