Piala Dunia Kelab permulaan musim baharu buat Manchester City

Piala Dunia Kelab permulaan musim baharu buat Manchester City


PENGERUSI Manchester City, Khaldoon Al-Mubarak menegaskan bahawa kempen Piala Dunia Kelab yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun ini harus dianggap sebagai permulaan rasmi musim baharu, bukan kesinambungan musim lalu.

City menamatkan musim 2024/25 dengan penuh kehampaan selepas gagal merangkul sebarang trofi utama buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, selain menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga.

Walaupun hanya menamatkan aksi liga mereka di Craven Cottage menentang Fulham pada Ahad lalu, skuad kendalian Pep Guardiola akan kembali ke aksi kompetitif hanya 24 hari kemudian di kejohanan Piala Dunia Kelab yang diperluas kepada 32 pasukan, bermula 14 Jun ini.

“Pasukan akan berehat seketika, kemudian memulakan latihan pra-musim sebelum terus ke Piala Dunia Kelab.

“Kami hadir sebagai juara dan itu amat mengujakan. Saya secara peribadi menggemari format baharu kejohanan ini. Ia adalah permulaan musim baharu, bukan lanjutan musim lalu,” kata Khaldoon.

City sebelum ini muncul juara kejohanan tersebut dua tahun lalu selepas menewaskan Fluminense dalam aksi final yang berlangsung di Arab Saudi.

Khaldoon turut menyatakan bahawa kelab sedang giat melakukan persiapan bagi membentuk skuad terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut, dengan beberapa pemain baharu dijangka dibawa masuk sebelum sepak mula.

Antara yang dikaitkan ialah pemain tengah AC Milan, Tijjani Reijnders, selain minat terhadap pemain serba boleh Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White.

Sebagai kelab yang layak ke Piala Dunia Kelab, City dan Chelsea diberikan tempoh khas jendela perpindahan bermula 1 hingga 10 Jun bagi melengkapkan urusan pembelian pemain sebelum ia ditutup buat sementara selama lima hari dan dibuka semula dari 16 Jun hingga 1 September.

Bagaimanapun, jadual perlawanan yang padat terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain, termasuk pertahanan Manuel Akanji yang secara berseloroh menyatakan mungkin terpaksa bersara seawal usia 30 tahun.

Pemain tengah utama, Rodri, yang terpaksa berehat panjang musim ini akibat kecederaan lutut, turut mengakui bahawa sesetengah pemain hampir melancarkan mogok akibat keletihan melampau.

Sebagai rekod, Guardiola sebelum ini menyatakan bahawa sebarang perubahan terhadap kesesakan jadual perlu dimulakan oleh para pemain sendiri.

Pada Januari lalu, satu mesyuarat antara kesatuan pemain global, FIFPro dan FIFA telah diadakan bagi membincangkan isu tersebut, susulan aduan rasmi yang difailkan oleh FIFPro terhadap FIFA atas dakwaan penyalahgunaan dominasi kuasa.

Manchester City dijadualkan menentang Wydad AC (Maghribi) pada 19 Jun, Al Ain (Emiriah Arab Bersatu) pada 23 Jun dan Juventus (Itali) pada 27 Jun dalam peringkat kumpulan G

Dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati, dan pasukan yang mara ke final pada 13 Julai akan bermain sebanyak tujuh perlawanan keseluruhan.

Musim baharu Liga Perdana Inggeris pula akan bermula pada 13 Ogos, hanya sebulan selepas tamat kejohanan.

Walaupun wujud keraguan terhadap sejauh mana pasukan akan memberikan keutamaan terhadap kejohanan musim panas ini berikutan kekangan rehat, Khaldoon tetap tegas dengan pendirian City.

“Ini adalah kejohanan yang sangat serius. Sepanjang musim panas ini, seluruh dunia akan memberi tumpuan kepada Piala Dunia Kelab.

“Sebilangan besar kelab gergasi dunia akan bertanding, dan saya boleh jamin, kami akan memberikan segalanya. Kami pergi ke sana untuk menang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khaldoon turut mengulas ringkas mengenai isu 115 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana yang masih membelenggu kelab itu.

Perbicaraan berkenaan telah berlangsung di hadapan Suruhanjaya Bebas antara September hingga Disember lalu, namun keputusan masih belum diumumkan.

“Kami masih belum menerima sebarang keputusan. Setelah keputusan diumumkan, saya akan memberikan ulasan lanjut mengenainya.

“Buat masa ini, kami perlu bersabar. Keputusan itu akan tiba juga, dan apabila ia diumumkan, saya janji akan mengulasnya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top