19 Januari 2025 03:24pm
Masa membaca: 4 minit
Aksi pemain negara ketika menentang Sri Langka dalam perlawanan Kumpulan A di Bayuemas Cricket Oval. Foto Malaysian Cricket Association
MALAYSIA memulakan kempen dengan langkah kiri selepas dibelasah Sri Lanka pada aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Dunia Kriket T20 Wanita Bawah-19 Tahun (B-19) 2025 di Bayuemas Cricket Oval, Klang pada Ahad.
Sri Lanka yang turun dengan status pasukan pilihan tidak berdepan masalah untuk menundukkan skuad tuan rumah dengan mencatatkan 139 larian dalam 20 over, manakala lawan mereka menghasilkan 23 larian dalam 14.1 over.
Kapten pasukan Nur Dania Syuhada Abedul Samad mengakui skuad negara agak lemah di bahagian pukulan, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak lawan.
“Kita memang lemah ketika membuat pukulan, memang itu yang kita perlu fokus dan tambah baik untuk perlawanan menentang India selepas ini.
“Saya akui walaupun India kuat, tapi kriket ini perlawanan subjektif, kita boleh cipta kejutan,” katanya selepas perlawanan pada Ahad.
Malaysia akan berdepan juara bertahan India pada Selasa (21 Januari) dan West Indies pada Khamis (23 Januari) dalam Kumpulan A. – Bernama